suria

Shafie Apdal Anggap Saranan Kit Siang Gimik Politik

Mohd Shafie Apdal (kanan) memotong riben pada majlis penyerahan van jenazah sumbangan RISDA bagi kegunaan Jabatan Kesihatan Sarawak di Kuching pada Selasa. - foto ZULAZHAR SHEBLEE/The Star
KUCHING: Saranan penasihat DAP Lim Kit Siang bagi pembentukan satu gabungan baharu yang dinamakan "Save Malaysia" tidak lebih daripada gimik politik semata-mata, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sentiasa kekal dengan agenda menyatu dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat demi kestabilan, dengan hasrat membangunkan negara.

Sedangkan menurutnya saranan pemimpin veteran DAP itu tidak lebih kepada cakap-cakap politik sahaja yang kononnya mahukan perpaduan, namun dari segi amalan tiada apa yang dilakukannya dalam usaha menyatupadukan rakyat.

"Ini politik mereka, dia cakap sahaja. Bila mereka datang ke Sarawak ini kata mereka BN jahat, tapi bila berhadapan dengan masalah, nak berpakat pula," katanya dalam satu persidangan media selepas menyampaikan sebuah Van Jenazah sabagai sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Risda kepada Jabatan Kesihatan di sini Selasa.

Beberapa media sebelum ini melaporkan Kit Siang dalam ucapannya di satu majlis ulang tahun DAP Bukit Bintang Ahad lepas menyarankan pembentukan satu gabungan baharu "Save Malaysia" yang mengandungi Anggota Parlimen dari latar belakang politik yang berbeza dalam satu perjuangan bagi menjunjung Perlembagaan Negara dan kedaulatan undang-undang.

Menurut laporan itu, saranan itu dibangkitkan Kit Siang selepas beliau merujuk kepada kemelut dalaman Pakatan Rakyat dan juga pelbagai masalah yang menurutnya sedang dihadapi BN.

Sementara itu, Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkata sumbangan van bernilai RM106,770 itu adalah antara komitmen kementerian menjayakan program "Komuniti Sihat Perkasa Negara" (Kospen) yang merupakan sebahagian inisiatif Kementerian Kesihatan menangani masalah peningkatan bebanan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dalam negara.

Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menjadi agensi pertama yang melaksanakan kolaborasi dengan Kospen dalam menyediakan akses lebih baik kepada penyaluran dan pembekalan maklumat serta penjagaan kesihatan untuk sampai ke kawasan-kawasan sasaran di peringkat akar umbi, katanya.

Menurut Shafie sepanjang tahun lepas, sebanyak 1,215 anggota KEMAS dari 550 kampung di seluruh Sarawak menjalani program Kospen yang turut merangkumi pelaksanaan bengkel-bengkel latihan sukarelawan kesihatan. 

Sementara itu, Pengerusi Risda Datuk Seri Wan Mohamad Zuki Mohamad yang turut hadir di majlis ini berkata tahun ini Risda memperuntukkan RM1 juta sebagai tanggungjawab CSR syarikat berkenaan, dan antara inisiatif yang sedang dan sudahpun dilaksanakan termasuk bantuan pembelian buku dan juga pembaikan asrama, khusus buat penduduk luar bandar.

Artikel Lain