suria

KDNKA Pantau Pihak Luar Ancam Keselamatan Negara

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau dan menjalankan risikan dari semasa ke semasa sebagai satu daripada usaha berterusan menghadapi sebarang ancaman keselamatan di negara ini.

Isu ancaman keselamatan dari luar seperti di kawasan Kawasan Keselamatan  Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), kumpulan militan IS dan pendatang asing tanpa izin (Pati) diberikan perhatian serius oleh PDRM bagi memastikan ancaman itu dapat ditangani.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Muhd Fuad Abu Zarim berkata, PDRM sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berkenaan ancaman keselamatan.

"Seperti di kawasan ESScom, ancaman di sana masih berterusan namun PDRM sentiasa bersedia dengan 1,000 anggota yang telah ditugaskan dengan penglibatan mereka secara jadual berkala.

"Beberapa peralatan seperti bot laju, sistem radar dan helikopter merupakan antara keperluan logistik yang telah dimantapkan bertujuan mengawal keselamatan di lokasi itu," katanya ketika sesi wawancara bersama pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini baru-baru ini.

Muhd Fuad berkata, tempoh perintah berkurung fasa ke-15 di kawasan perairan Esscom juga telah dilanjutkan sehingga 29 Mac bermula pukul 7 malam hingga 5 pagi.

"Ini bagi menjamin keselamatan pengguna dan pelancong di perairan khususnya juga rakyat Sabah di daratan Esscom," katanya.

Muhd Fuad berkata, pemantauan turut dilakukan melibatkan militan Negara Islam (IS), yang melibatkan rakyat di negara ini yang terlibat dengan kegiatan tersebut.

"Apa yang membimbangkan, apabila mereka pulang ke negara ini, mereka membentuk kumpulan militan baharu yang disertai oleh generasi muda. Militan memang belum wujud di sini namun jika dibiarkan ia boleh mengundang musibah," katanya.

Justeru itu, PDRM telah mengambil langkah sewajarnya melalui unit risikan dan pasukan gempur yang terlatih bagi menjaga keselamatan di negara ini daripada ancaman pihak luar.

Dalam isu Pati, Muhd Fuad mengambil contoh penahanan1,400 Pati yang berada di Cameron Highlands ketika Ops Gempak dan Mesra yang dijalankan tahun lalu, bersama agensi penguat kuasa yang lain.

"Ini melibatkan 100 anggota Pasukan Gerakan Am yang membanteras Pati di kawasan terbabit," katanya.



PDRM, KDNKA, Esscom, Muhd Fuad Ahmad Zarim

Artikel Lain