suria

Industri Seni, Budaya Berpotensi Jana Pendapatan Lumayan - Muhyiddin

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan melancarkan buku Rekayasa Kebudayaan pada Persidangan Ekonomi Seni (AEC) 2015'. Turut kelihatan Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia Datuk Dr Sharudin Md Salleh (dua, kanan) dan Penganjur Bersama AEC Datuk Mahadzir Lokman (kiri).

KUALA LUMPUR: Seni dan budaya merupakan industri yang mempunyai masa depan dan berpotensi menjana pendapatan negara yang lebih tinggi pada masa depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, umum mengetahui bahawa Perancis begitu berjaya dalam bidang  pelancongan yang berasaskan seni dan budaya dengan pendapatan mencecah AS$256 bilion setahun menerusi sektor pelancongan.

"Ia memberi manfaat untuk belajar dari Perancis dan bandar raya lain serta negara lain di seluruh dunia tentang bagaimana mereka berjaya membangunkan strategi untuk menggalakkan industri pelancongan dan seni sebagai penyumbang utama pertumbuhan ekonomi negara.

"Bandar raya Paris merupakan satu contoh jelas tentang bagaimana seni dan budaya menjadi tarikan utama pelancong yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang tinggi dan meletakkan bandar raya itu pada kedudukan dalam kalangan lima wilayah terkaya di Eropah," katanya ketika merasmikan Persidangan Ekonomi Seni 2015 dan pelancaran buku 'Rekayasa Kebudayaan' di sini, Selasa.

Buku dalam bahasa Malayu diterjemahkan daripada buku bahasa Perancis, 'L'ingenierie Culturelle (Kejuruteraan Kebudayaan) itu dikarang oleh Claude Mollard.

Muhyiddin berkata, di Malaysia, industri kreatif, meliputi seni dan budaya, menyumbang kira-kira RM33 bilion kepada KDNK negara.

Beliau berkata, di bawah Program Transformasi Ekonomi, industri kreatif diberikan geran RM17 untuk melaksanakan program jangka pendek yang dikenali sebagai 'Quick Wins' untuk persembahan seni bagi tempoh antara 2012 dan 2014.

Selaras usaha mewujudkan masyarakat yang kaya dengan budaya, Muhyiddin berkata pelbagai program dilaksana kerajaan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kebudayaan dan kesenian dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Kerajaan telah menyokong industri seni kreatif dan akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan industri yang berpotensi menyumbang kepada KDNK yang lebih tinggi," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, terdapat beberapa universiti, kolej dan institusi pengajian tinggi di negara ini yang menawarkan kursus seni dan reka bentuk, antaranya Universiti Teknologi MARA, Universiti Islam Antarabangsa Malysia, Universiti Malaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

Institusi berkenaan, katanya, akan menghasilkan profesional berkualiti tinggi yang akan menyumbang kepada usaha menggalak dan pembangunan industri seni dan budaya pada masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Balai Seni Visual Negara, turut memainkan peranan penting dalam menggalakkan seni visual dengan menganjurkan pameran, seminar, bengkel, pertandingan dan aktiviti seni yang bertujuan memupuk kesedaran, kefahaman dan penghargaan terhadap seni dalam kalangan rakyat Malaysia.

Mengenai persidangan itu, Muhyiddin berkata ia akan menjadi platform yang  baik bagi pakar dan peserta industri untuk membincangkan dengan lebih terperinci mengenai potensi serta hala tuju industri budaya dan kesenian di Malaysia.

Persidangan dua hari bermula hari ini dianjurkan buat julung kali di negara ini, berjaya menarik kira-kira 200 peserta tempatan dan luar negara.-- Bernama


Artikel Lain