suria

Gangguan Bekalan Air Di Selangor, KL Akibat Penutupan Loji Sungai Semenyih

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur sejak minggu lepas lepas ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran air mentah dan penutupan rumah pam.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred berkata, penutupan LRA Sungai Semenyih pada 8.30 malam 19 Mac lepas menyebabkan gangguan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

"Sehingga 8 pagi hari ini (Selasa), hanya 32 kawasan (15,596 pintu rumah) daripada 209 kawasan di Wilayah Hulu Langat yang masih dalam pemulihan bekalan air. Namun, situasi bertambah baik dengan tahap pemulihan bekalan air mencapai 99.9 peratus," katanya dalam kenyataan, Selasa.

Beliau berkata, berdasarkan situasi terkini, Syabas menjangkakan bekalan air di kesemua kawasan ini akan pulih sepenuhnya menjelang lewat malam esok.

Priscilla berkata bekalan air di Wilayah Petaling, Sepang dan Kuala Langat pula pulih sepenuhnya pada 23 Mac selepas gangguan bekalan air di 13 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur akibat penutupan operasi rumah pam Perkuat Kuari, Cheras pada 22 Mac lepas.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai gangguan bekalan air daripada Pusat Panggilan Syabas (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau menerusi aplikasi mudah alih mySYABAS.  -- Bernama

air, Selangor, loji, Semenyih

Artikel Lain