suria

DAP Tiada Hak 'Ceraikan' Pas-Hadi - Ahmad Marzuk

Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tiada hak untuk ‘menceraikan’ PAS dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila memutuskan untuk bersama Pakatan Rakyat (PR) tetapi menolak Presiden PAS itu.

Menyifatkan kerjasama PAS dalam pakatan pembangkang bukan seperti hubungan suami isteri, Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary berkata, PAS akan tetap bersama PR walau dilanda masalah.

“Kita dalam Pakatan Rakyat bukan macam suami isteri, yang suami boleh cerai isteri macam itu sahaja.

“Kita tetap akan bersama dengan Pakatan Rakyat walaupun dilanda pelbagai isu,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Tegas wakil rakyat penggal pertama itu lagi, PAS akan terus mempertahankan Hadi walaupun rakan sekutunya itu menolak dan memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tersebut.

Katanya, adalah janggal apabila DAP mahu terus bersama PAS dalam PR, namun enggan mengiktiraf kepimpinan Hadi.

“Soal tak iktiraf tak berbangkit. DAP nak bersama dengan sebuah parti, jadi agak janggal kalau tak ada pengiktirafan kepada ketua parti.

“PAS akan tetap pertahankan presiden dan juga pakatan.

“Presiden PAS sekarang mendapat mandat dan sokongan daripada ahli akar umbi,” katanya.

Terdahulu pada pagi Selasa, Guan Eng menggesa supaya Hadi meninggalkan PR jika mahu meneruskan hasrat membentangkan rang undang-undang persendirian berhubung hudud di Dewan Rakyat.

Artikel Lain