suria

Sultan Johor Aktif Dalam Aktiviti Ketenteraan, Pengurusan Dan Pentadbiran

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berangkat keluar selepas Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar, sebelum acara perarakan sekitar bandar raya Johor Baharu bagi bertemu rakyat, Isnin.

JOHOR BARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang diputerakan pada 22 November 1958 di Johor Baharu, banyak mengikut jejak langkah kesultanan sebelum baginda melalui penglibatan dalam aktiviti ketenteraan, pengurusan dan pentadbiran.

Kesemuanya itu dikatakan menjadi asas dalam membina semangat juang, disiplin, kepimpinan dan perwatakan Sultan Ibrahim, demikian menurut Laman Web Khas Kemahkotaan di sini.

Sultan Ibrahim pada Isnin dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden pada satu istiadat gilang gemilang di Istana Besar di sini.

Selepas tamat persekolahan, baginda memulakan latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Kota Tinggi dan meneruskannya di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat.

Di Amerika Syarikat, Sultan Ibrahim turut mengikuti latihan di udara dan renjer untuk pegawai infantri sebelum meneruskan latihan sebagai American Special Forces dan Pathfinder di mana baginda membuat 19 terjunan payung terjun, lapan daripadanya pada waktu malam.

Sultan Ibrahim turut dipilih dan ditauliahkan sayap dan dijadikan sebagai seorang komando dan ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL selain ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (Kopassus) Indonesia selepas membuat beberapa penerjunan di Bandung.

Apabila kembali ke Johor, baginda dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pemerintah Askar Timbalan Setia Negeri dan pada masa yang sama, turut menjalani latihan juruterbang helikopter dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selain menyertai latihan tiga bulan di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

Selain latihan ketenteraan, Sultan Ibrahim turut meneruskan pelajaran di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat dengan melengkapkan dua kursus iaitu Kajian Strategik Asia Tenggara dan Undang-undang Kelautan Antarabangsa.

Baginda turut berkhidmat dengan kerajaan negeri Johor dan ditempatkan di di Pejabat Setiausaha Kerajaan, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian untuk mempelajari selok belok pengurusan dan pentadbiran negeri.

Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 dan melangsungkan perkahwinan dengan Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada 22 September 1983.

Berikutan kemangkatan Sultan Iskandar, Sultan Ibrahim kemudiannya  dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010.

Semasa menjadi Tunku Mahkota Johor, Sultan Ibrahim turut mengasaskan  program Kembara Mahkota Johor sejak 2001, dalam usaha baginda mendekatkan hubungan istana dengan rakyat jelata.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain