suria

Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sarat Dengan Nilai Sejarah - Najib

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menuruni Tangga Agong sebelum acara perarakan sekitar bandar raya Johor Bahru selepas Istiadat Kemahkotaan di Istana Besar bagi bertemu rakyat.

JOHOR BARU: Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar merupakan satu istiadat yang sarat dengan nilai-nilai sejarah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, dengan mengadakan istiadat seperti ini, ia memberi peluang kepada generasi muda mengetahui nilai-nilai sejarah berkaitan dengan Kesultanan Johor.

"Bagi kita semua terutama sekali generasi baru, mereka mendapat peluang untuk melihat (sendiri) adat resam dan sejarah Kesultanan Johor yang mana sudah tentu menjadi kebanggaan rakyat khususnya rakyat negeri Johor," kata Najib kepada pemberita selepas menghadiri istiadat itu, Isnin.

Dengan selesainya istiadat kemahkotaan itu, Sultan Ibrahim dimahkotakan sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden, sementara Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bergelar Permaisuri Johor.

Kali terakhir istiadat kemahkotaan diadakan adalah 55 tahun yang lepas ketika istiadat kemahkotaan Almarhum Sultan Ismail pada 10 Februari 1960. -- Bernama



Artikel Lain