suria

Kesatuan Gesa MAS Tarik Balik Cadangan Hentikan Pekerja

PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) digesa menyelesaikan isu-isu dalaman sebelum meneruskan cadangan untuk memberhentikan6,000 kakitangannya.

Presiden Kesatuan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan (NUFAM) Ismail Nasaruddin berkata MAS perlu mengambil kira kepentingan kakitangan mereka terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Kami membantah tindakan MAS mahu memecat 6,000 kakitangan dan kami akan mengadakan piket jika isu penstrukturan semula ini tidak dapat diselesaikan dengan cara baik," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata MAS harus mengikut prosedur yang betul dalam menamatkan khidmat kakitangan mereka seperti melalui mekanisme Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) atau Masuk Kemudian Keluar Dahulu (LIFO).

"Kita jangan tolak tepi pekerja yang lama bekerja dengan MAS kerana mereka sudah berkhidmat berpuluh-puluh tahun. Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, perkara (pemecatan) itu tidak sesuai dilakukan," katanya.

Pada Ogos 2014, Khazanah Nasional Berhad mengumumkan 12 langkah bagi menjayakan pelan penstrukturan semula MAS bernilai RM6 bilion yang antara lain menubuhkan entiti baharu dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad (MAS NewCo) dan menyaksikan 6,000 pekerja daripada pelbagai peringkat diberhentikan.

Pada November 2014, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) 2014 bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan syarikat penerbangan nasional itu.

Khazanah juga dilaporkan akan menubuhkan pusat khas bagi memberi sokongan penempatan kepada kira-kira 6,000 kakitangan MAS yang akan diberhentikan berikutan proses penstrukturan semula itu.   

Tumpuan pusat itu adalah menghulurkan sokongan termasuk sokongan profesional, emosi dan kewangan bagi membantu mereka untuk beralih ke peringkat kerjaya seterusnya.

Dalam sidang media berasingan di sini, enam kesatuan pekerja yang diketuai Pengerusi Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) Malaysia Tan Sri Zainal Rampak meminta kerajaan campur tangan dalam menyelesaikan isu pemberhentian kakitangan MAS.

Beliau berkata jika sesebuah syarikat mengalami masalah, mereka sepatutnya menilai semula kedudukan di bahagian pengurusan atasan dan bukannya kakitangan bawahan. 

Menurutnya pihak kesatuan sekerja memberi peluang kepada MAS dan Khazanah sejak akhir November tahun lepas untuk menilai semula cadangan pemberhentian kakitangan MAS namun, sehingga kini tiada penyelesaian.

Pada awal Mac lepas, Khazanah memaklumkan proses penilaian bakat yang meliputi kira-kira 20,000 pekerja MAS selesai pada 2 Feb lepas dengan proses mengenal pasti kumpulan pekerja yang memenuhi keperluan MAS NewCo sedang dijalankan.

Bagaimanapun nasib pekerja terbabit hanya akan diketahui pada 1 Jun ini apabila MAS NewCo mengeluarkan surat tawaran pekerjaan kepada mereka yang terpilih. -BERNAMA

MAS, NUFAM

Artikel Lain