suria

PRK Chempaka: Trend Keluar Mengundi 10 Peratus Setiap Satu Jam - SPR

Abdul Aziz meninjau ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Pengkalan Chepa 1 pada PRK DUN Chempaka, Ahad.

KOTA BARU: Trend keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka sejak pagi ini hingga tengah hari ini adalah sebanyak 10 peratus setiap satu jam, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sehingga pukul 12 tengah hari, sebanyak 38.82 peratus atau 7,915 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka selepas sembilan pusat pengundian dibuka sejak 8 pagi.

"Kalau trend ini berterusan hingga ke petang, mungkin peratusan keluar mengundi akan tinggi (dan mencapai sasaran 70 peratus).

"Bagaimanapun kita tunggu selepas 12 tengah hari ini. Jika trend (keluar mengundi) menurun, peratusan juga akan jatuh," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi pusat pengundian di Sekolah Menengah Agama Tengku Amalin A'ishah Putri di sini, Ahad.

Hadir sama Timbalan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Abdul Ghani Salleh.

Abdul Aziz sebelum itu melawat pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa I dan Sekolah Kebangsaan Sri Chempaka. Ditanya tentang pengumuman keputusan PRK, Abdul Aziz menjangkakan keputusan diumumkan pada pukul 9.30 malam.

"Ini bagi menghormati budaya penduduk di sini yang menunaikan solat (maghrib dan isyak) di masjid ataupun surau," katanya.

Mohamad Said, 96, menunjukkan jarinya yang telah dicalit dengan dakwat kekal selepas selesai membuang undi pada PRK DUN N.06 Chempaka di Sekolah Kebangsaan Sabak, Ahad.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata beliau berpuas hati dengan sambutan dan proses perjalanan PRK DUN Chempaka yang berlangsung pada Ahad.

"Kebanyakan pengundi memilih untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada sebelah pagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui ketika mengundi di Sekolah Kebangsaan Sabak di sini.

Pengundian awal diadakan pada Rabu lepas bagi 1,497 anggota tentera dan pasangan mereka. Jumlah yang keluar mengundi hanya 35.40 peratus atau 530 orang dan tidak mencapai 70 peratus yang disasarkan SPR.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya bekas Menteri Besar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas.

Ia menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon PAS dan empat calon Bebas.

PAS diwakili Ketua Urusan Ulama PAS DUN Chempaka Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad, 42, manakala calon Bebas terdiri daripada bekas pensyarah Izat Bukhary Ismail Bukhary, 48, bekas Naib Presiden Perkasa Kelantan Sharif Mahmood, 59, Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Fadzillah Hussin, 55, dan pesara Kementerian Kesihatan Aslah Mamat, 64. -- Bernama

Artikel Lain