DAP Perlu 'Cermin Diri', Juga Pernah Membelakangkan PAS - Abdul Hadi - Semasa | mStar

DAP Perlu 'Cermin Diri', Juga Pernah Membelakangkan PAS - Abdul Hadi

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
MARANG: DAP perlu cermin diri sebelum memanggil PAS sebagai pengkhianat kerana parti itu juga pernah membelakangkan PAS, termasuk dalam isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata tiada istilah 'khianat' kerana DAP menerusi penasihatnya Lim Kit Siang telah menandatangani kenyataan bersama pada tahun 2011 yang 'bersetuju untuk tidak bersetuju' dalam pelaksanaan hukum hudud.

Turut menandatangani kenyataan bersama itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya.

"Kami buat kenyataan bersama bahawa kami (Pakatan Rakyat-PR) menerima hakikat itu adalah hak kerajaan Kelantan (untuk melaksanakan hudud) dan kami beri ruang kepada DAP untuk tidak bersetuju.

"Kami tidak halang mereka untuk tidak setuju. Kami bukan orang Melayu yang mudah lupa. Kami orang Islam yang tidak lupa.

"Macam dalam isu pilihan raya PBT, kami (PAS) tidak setuju, tapi DAP tetap kemuka dalam (sidang) dewan (undangan) negeri dia (Pulau Pinang). Kami diam, tapi mereka tidak diam (dalam isu hudud). Itu bezanya," katanya.

Abdul Hadi berkata demikian pada sidang media selepas penutupan Ijtima' Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-3 di sini, malam Sabtu.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, menyifatkan Abdul Hadi bertindak khianat dan sengaja melakukan provokasi untuk memecahbelahkan PR, kerana memberi notis kepada Parlimen pada 18 Mac lalu untuk melaksanakan hukum hudud dengan meminda Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Sementara itu, mengulas mengenai pendirian PKR untuk tidak menyokong cadangan Rang Undang-Undang (RUU) persendirian itu di Parlimen, Abdul Hadi berkata perkara itu biasa dalam amalan demokrasi, malah perbezaan pendapat juga berlaku dalam parti.

"Pakatan Rakyat merupakan satu pakatan yang longgar ... memang ada dasar yang berbeza. Ada perkara yang sama dan ada perkara tidak. Kami tidak boleh halang (jika) ada dalam pakatan memberi pandangan berbeza," katanya.

Abdul Hadi bagaimanapun enggan mengulas sama ada PAS akan keluar daripada PR disebabkan perselisihan itu, sebaliknya berkata 'PAS masih bersama pakatan'.

Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri bahawa RUU itu mungkin tidak dapat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang, beliau berkata perkara itu boleh diputuskan mengikut budi bicara Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia).

Katanya mengikut Peraturan Mesyuarat, RUU persendirian hendaklah diusulkan dan perlu mendapat keizinan daripada seorang menteri terlebih dahulu sebelum boleh dibentangkan.

"Soal sama ada boleh atau tidak mendapat majoriti (jika berlaku pengundian kelak), kAMI kena lihat tapi kewajipan kami adalah untuk membentang (RUU)," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

Artikel Lain