suria

Najib Gesa Belia Teroka Bidang Keusahawanan Sosial

Najib (empat kiri) beramah mesra bersama penerima anugerah MyHarapan pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Pemimpin Muda (ICYL) 2015 di PWTC, Khamis. Turut kelihatan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Jamil Salleh (dua kiri).

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu lebih ramai belia meneroka keusahawanan sosial bagi membantu mewujudkan impak positif berkekalan kepada masyarakat.

Beliau berkata, ketika Malaysia beralih kepada negara berpendapatan tinggi, keusahawanan sosial akan menjadi bidang penting dalam mewujudkan ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Ia juga kunci untuk memacu transformasi sosial dan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dan saksama.

"Model Baharu Ekonomi menyediakan rangka kerja dan persekitaran untuk mengupayakan perusahaan swasta, selain mengurangkan jurang pendapatan.

"Namun, model ekonomi semata-mata tidak mencukupi. Kita pelukan model sosial yang mampu mewujudkan perubahan sosial," kata Najib dalam ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Pertama Pemimpin Muda 2015, di sini, Khamis.

Keusahawanan sosial ialah model keusahawanan yang tidak hanya mementingkan keuntungan, malah menekankan kepada pewujudan masyarakat yang berimpak positif dan saksama. Walaupun masih baharu, namun ia semakin mendapat perhatian dalam kalangan belia.

Najib berkata, mereka yang mengamalkan keusahawanan sosial turut memperoleh manfaat dari segi kemahiran perniagaan, teknikal dan fungsi, selain menanam nilai mulia untuk meningkatkan taraf hidup orang lain.

"Saya percaya berdasarkan peluang yang ada, golongan muda yang mahu merubah dunia akan menggunakan model perniagaan sosial bagi mewujudkan impak positif dan berkekalan dalam isu membabitkan sosial dan persekitaran.

"Kita perlukan lebih ramai golongan muda Malaysia yang cemerlang, yang mempunyai inisiatif, daya tahan dan idealisme yang boleh menjadi model ikutan, selain menggalakkan lebih ramai usahawan sosial untuk tampil ke hadapan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus menyokong keusahawanan sosial, termasuk menyediakan kemudahan pembiayaan dan kemahiran, bagi melahirkan usahawan muda dalam sektor itu.

Sebagai contoh, beliau berkata penubuhan unit keusahawanan sosial di bawah Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

"Keusahawanan Sosial MaGIC kini merupakan pusat setempat untuk usahawan sosial di Malaysia memberi inspirasi kepada generasi baharu supaya menjadi rakyat yang aktif, selain meluaskan capaian usahawan sosial sedia ada.

Acara tiga hari bertema 'Merubah masyarakat menerusi keusahawanan sosial' itu menarik 300 peserta dari 10 negara.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan timbalannya Datuk M Saravanan serta Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada acara itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Harapan kepada pemenang tujuh kategori yang dipertandingkan.

Sementara itu, Khairy berkata, Kementerian Belia dan Sukan akan terus menjadi pemudahcara bagi menggalakkan belia menceburi keusahawanan sosial, selain mendedahkan mereka kepada peluang serta bantuan yang ada.

Syarikat berkaitan kerajaan juga digesa mengguna pakai model keusahawanan sosial yang menurutnya dapat memberi kesan yang lebih baik ke atas taraf sosioekonomi masyarakat berbanding pemberian bantuan melalui tanggungjawab sosial korporat mereka. 

Khairy juga berkata kerajaan bersedia menambah dana bagi merancakkan aktiviti MaGIC yang berperanan sebagai agensi utama untuk membangunkan sektor keusahawan sosial.

Beliau berkata setakat ini, hampir 700 usahawan belia memperoleh manfaat daripada MaGIC yang ditubuhkan pada 2013. -- Bernama

Najib Razak, keusahawanan sosial

Artikel Berikut

Artikel Lain