suria

Pembangunan Lebih Penting Banding Hudud Di Kelantan - Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tiada keperluan untuk kerajaan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu pada masa ini.

Menurut beliau, selain faktor masa yang tidak sesuai, PAS Kelantan seharusnya memberi fokus kepada pembangunan yang turut dituntut oleh Islam.

"Saya berpandangan hudud tidak boleh dilaksanakan sekarang. Kita perlu lakukan perkara-perkara lain yang dikehendaki oleh Islam seperti membangunkan negara ini termasuk memberikan keadilan kepada wanita.

"Di Kelantan anda tidak dapat menonton wayang dengan teman lelaki anda. Mereka tidak boleh duduk bersama-sama dan ia tidak adil untuk wanita. Terdapat percanggahan besar dalam tingkah laku wakil-wakil PAS di Kelantan,” kata Nur Jazlan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

DUN Kelantan pada Khamis meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri ini.

Dilaporkan kesemua 44 ahli dewan meluluskan sebulat suara rang undang-undang berkenaan termasuk 12 Adun Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut Nur Jazlan berkata, isu berkaitan agama menjadi punca berlakunya perpecahan antara kaum dan agama di negara ini.

"BN dan Pakatan pun sudah mula nampak berpecah dan ada unsur ugut-mengugut. Jadi penyelesaiannya kita harus kembali ke negara moderate.

"Perkara yang sensitif kita jangan jadikan perkara utama dalam menentukan hala tuju negara,” katanya.

Berhubung rancangan PAS Kelantan untuk membawa rang undang-undang persendirian berhubung hudud, Nur Jazlan berkata: “Mana-mana rang undang-undang persendirian yang dibawa ke Parlimen, yang bertentangan dengan Perlembagaan akan ditolak oleh speaker secara automatik.”



Artikel Lain