suria

Timbul Kebimbangan Lee Kuan Yew Semakin Tenat

Orang ramai dan wartawan berkumpul di SGH selepas menerima laporan bahawa bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew berada dalam keadaan kritikal.-foto NEO XIAOBIN
SINGAPURA: Ramai orang berkumpul di Hospital Besar Singapura (SGH), manakala media sosial begitu sibuk pada Rabu selepas berita melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew sedang sakit tenat.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata bahawa kesihatan Kuan Yew, yang kini berada di unit rawatan rapi SGH telah merosot dengan banyaknya.

Kemas kini perkembangan kesihatan beliau mendorong ucapan takziah segera disampaikan berserta ucapan dan kata-kata dalam talian.

Pada malam Rabu, satu 'paparan skrin' tersebar secara meluas menyatakan ia datang dari sebuah laman web palsu yang menggunakan logo PMO dan mengumumkan kematian Kuan Yew.

PMO berkata telah pun membuat laporan polis mengenai laman web palsu itu dan menambah bahawa tiada maklumat baharu tentang keadaan Kuan Yew dikeluarkan sejak petang.

Penipuan itu membawa beberapa syarikat penyiaran asing, termasuk CNN dan CCTV China, Sina dan Phoenix Chinese News melaporkan bahawa Kuan Yew telah meninggal dunia, dan ia kemudian ditarik balik.

Kuan Yew, 91, telah dikunjungi oleh ahli keluarga dan saudara-mara, termasuk anak sulungnya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, 63, dan cucunya Lee Yipeng, 32, pada Rabu.

Lobi hospital penuh sesak dengan wartawan, ada di antaranya terbang dari luar negara, termasuk dari stesen TV Jepun, NHK TV, akhbar Yomiuri Shimbun dan Phoenix Chinese News.

Seorang guru tadika, Rose Teng sedang melawat saudaranya di SGH apabila dia melihat orang ramai dan mengambil keputusan untuk menyertai mereka: "Singapura tidak akan menjadi apa yang ada hari ini tanpa Lee Kuan Yew," katanya.

Sementara itu, dalam talian terdapat kata-kata semangat diberikan kepada Kuan Yew supaya cepat sembuh, termasuk daripada menteri dan ahli Parlimen.

Komen terkini di Facebook perdana menteri mengenai kesihatan ayahnya mendapat lebih 2,000 komen dalam masa beberapa jam.

Elizabeth Ting menulis: "Cepat sembuh dan hadiri ke Perbarisan Hari Kebangsaan SG50."

Kesihatan Kuan Yew yang semakin membimbangkan mula diumumkan pada Selasa, apabila PMO berkata beliau mendapat jangkitan dan sedang dirawat dengan antibiotik.

Ia berkata doktor telah memantau keadaannya.

Kuan Yew telah berada di hospital sejak 5 Februari lalu akibat radang paru-paru yang teruk.

Pada 28 Februari, PMO berkata keadaan beliau bertambah baik sedikit, dan pemberian antibiotik kepada beliau dikekalkan. -The Straits Times/ANN

Artikel Lain