suria

MH370: Tiga Waris Penumpang Sedia Runding Pampasan

KUALA LUMPUR: Seramai tiga waris atau keluarga penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 bersetuju mengadakan rundingan mengenai bayaran pampasan penuh berhubung insiden kehilangan pesawat itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, persetujuan itu dinyatakan selepas kerajaan mengisytiharkan kehilangan MH370 sebagai satu kemalangan.

"Sehingga 6 Mac, seramai tiga waris atau keluarga penumpang pesawat MH370 menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan tersebut.

"Kesinambungan daripada pengisytiharan kemalangan tersebut, ia membuka ruang yang lebih luas kepada ahli keluarga waris penumpang dan anak kapal pesawat MH370 untuk mendapat bantuan yang diperlukan dalam meneruskan kehidupan seharian mereka," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) selepas kerajaan pada 29 Januari lalu mengistiharkan kehilangan pesawat MH370 sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa.

Sebaik sahaja perisytiharan itu, MAS telah memaklumkan kepada semua aggota keluarga terdekat mangsa mengenai pampasan tersebut.

Pada 8 Mac tahun lepas, penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang dari skrin radar semasa terbang di Laut China Selatan kurang daripada satu jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12:41 tengah malam.

Pesawat Boeing 777-200ER itu dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.

MH370, MAS

Artikel Lain