suria

Pegawai Kanan Petronas Bebas Tuduhan Rasuah Berjumlah RM23,200

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Petronas pada Isnin menarik nafas lega selepas Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskannya daripada empat pertuduhan rasuah berjumlah RM23,200 berhubung pembekalan Cecair Gas Asli (NGL) kepada sebuah syarikat pada 2008.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap Ishak Hashim, 49, di akhir kes pembelaan.

Ishak yang berada di kandang tertuduh dilihat menoleh ke arah anggota keluarganya yang hadir pada prosiding hari ini sambil melemparkan senyuman selepas mahkamah memberi keputusan itu.

Ahmad Zamzani ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah mendapati tertuduh berjaya memberi penjelasan jujur mengenai wang yang didakwa diterimanya daripada syarikat Erision Chem Sdn Bhd.

Hakim itu berkata pembelaan tertuduh juga bukan bersifat difikirkan kemudian dan mahkamah juga mendapati keterangan dua saksi pendakwaan sukar diterima kerana terdapat percanggahan.

Ishak, yang ketika kejadian bertugas sebagai Pengurus Kanan Pengurusan Risiko Pelanggan Petronas, didakwa terhadap dua pertuduhan bersetuju menerima wang suapan berjumlah RM22,800 daripada Pengarah Syarikat Erision Chem Sdn Bhd iaitu Choo Ka Ckye melalui akaun Maybank miliknya dan akaun Maybank rakannya, Syed Mustaffa Syed Abu Bakar sebagai upah pembekalan NGL ke syarikat itu.

Dia juga didakwa terhadap dua pertuduhan cuba memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM400 daripada Choo dan seorang lagi pengarah syarikat Erision, Abdul Khair Walli Mohamed melalui akaun Maybank milik Syed Mustaffa bagi tujuan sama. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Segambut, di lobi Hotel Corus, Jalan Ampang dan Lot 1485, Kampung Alor Janggus, Napoh, Jitra, Kedah antara 15 Jun 2008 hingga 19 September 2008. 
 
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Wan Ahmad Nidzam Wan Omar telah mengemukakan 19 saksi pendakwaan manakala peguam Jesvinderjit Singh memanggil tiga saksi pembelaan untuk memberi keterangan.

Ishak, yang kini digantung tugas, ketika ditemui pemberita selepas itu melahirkan rasa gembira dan lega atas keputusan mahkamah dan akan melaporkan perkara itu kepada majikannya hari ini.

Artikel Lain