suria

Pakistan Ingin Pelajari Pembaharuan Sektor Awam Malaysia

Prof Ahsan Iqbal

KUALA LUMPUR: Pakistan, yang sedang giat berusaha untuk menjayakan agenda Wawasan 2025nya, ingin mempelajari cara Malaysia melaksanakan pemodenan dan pembaharuan terhadap perkhidmatan awamnya, kata Menteri Perancangan, Pembangunan dan Pembaharuan Persekutuan negara itu Prof Ahsan Iqbal.

"Kami sungguh berminat untuk belajar daripada pengalaman Malaysia itu memandangkan dalam tempoh dua dekad lepas, Malaysia mencapai kadar pertumbuhan yang mengagumkan," katanya dalam temu bual dengan Bernama di Suruhanjaya Tinggi Pakistan di sini baru-baru ini.

Beliau juga berkata Malaysia dan Pakistan berkongsi latar belakang pentadbiran serupa, yang mewarisi struktur pentadbiran British.

"Kedua-dua negara juga memiliki persamaan dari segi budaya," katanya.

Mengenai Wawasan 2025 Pakistan, beliau berkata wawasan yang dilancarkan Perdana Menteri Nawaz Sharif pada Ogos tahun lepas itu antara lain memberi fokus terhadap usaha mewujudkan sektor awam yang properniagaan dan dipacu prestasi.

Ahsan berada di sini bagi melakukan lawatan rasmi tiga hari, bermula 12 Mac, dan dalam rangka lawatan itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Beliau berkata pada perjumpaan itu, mereka berbincang tentang kemungkinan mewujudkan kerjasama antara National School of Public Policy (NSPP) dari Pakistan dengan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) mengenai pertukaran pakar dan penjawat awam.

NSPP, institusi latihan bagi penjawat awam Pakistan, menjalin hubungan dengan institut pentadbiran dari China, Turki dan Rusia.

"Sebagai susulan kepada lawatan ini, kami mempelawa para pakar dari Malaysia untuk melawat Pakistan dan mereka amat gembira serta menerima pelawaan itu," katanya.

Tanggungjawab utama Kementerian Perancangan, Pembangunan dan Pembaharuan ialah melaksanakan Wawasan 2025 dengan kerjasama pelbagai kementerian di Pakistan.

Melalui wawasan itu, Pakistan menyasarkan untuk muncul sebagai antara 25 ekonomi teratas di dunia, berbanding tempat ke-44 yang didudukinya sekarang.

Pakistan, Sektor Awam

Artikel Lain