suria

Ketua Menteri Sarawak Siap Sedia Dengan Slogan Pilihan Raya

Tan Sri Adenan Satem
KUCHING: "Beri saya peluang (Give me a chance)," kata Tan Sri Adenan Satem semasa menjawab soalan tentang slogan yang akan diketengahkannya dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

Ketua Menteri Sarawak berkata beliau memerlukan sekurang-kurangnya beberapa tahun untuk mencapai kejayaan yang diimpikan beliau buat Sarawak, dan beliau mengakui tidak dapat melakukannya seorang diri tanpa kerjasama seluruh penduduk negeri.

"Jadi 'give me a chance', itulah slogannya (untuk pilihan raya nanti). Beri saya peluang, ...saya harap untuk memperoleh mandat daripada rakyat untuk meneruskannya," kata beliau sebagaimana dilaporkan akhbar Jiwa Bakti.

Jiwa Bakti merupakan akhbar bulanan terbitan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterbitkan semula setelah dihentikan kira-kira sedekad lalu, dan ia akan mula diedar secara percuma kepada umum mulai esok, dengan beberapa naskhah akhbar itu sudah diperoleh Bernama.

Hujung bulan lepas genap setahun Adenan menjadi Ketua Menteri yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang kini menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak, dan kempen pilihan raya di Sarawak kini semakin ketara memandangkan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa tamat pada Jun tahun depan.

Slogan 'Give Adenan a Chance' sebelum ini ditampilkan pada pilihan raya kecil DUN Balingian yang diadakan selepas pengunduran Abdul Taib sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan itu, dan slogan berkenaan dilihat berjaya menarik sokongan ramai apabila PBB yang diwakili Yussibnosh Balo meraih kemenangan dengan memperoleh majoriti lebih besar berbanding sebelumnya.

Sementara itu merujuk kepada kelahiran parti UPP dan Teras, yang merupakan parti serpihan komponen BN Negeri, SUPP dan SPDP, Adenan dipetik akhbar itu sebagai berkata perkara berkenaan perlu diselesaikan sebelum pilihan raya negeri kerana beliau tidak mahu parti pembangkang mengambil kesempatan daripada perpecahan dalaman untuk meraih kemenangan.

Menjawab soalan tentang kemungkinan parti yang menyokong Barisan Nasional (BN) akan diberi ruang bertanding di kawasan BN nanti Adenan berkata: "..bukan diberi kerusi tetapi kita akan pertimbangkan.... bergantung kepada kemungkinan untuk menang, bertanding guna lambang 'dacing' (BN)... diangkat sebagai calon BN, macam dulu," katanya.

Mei lepas, Menteri Pembangunan Sosial Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang dipimpin beliau selaku presidennya, dan menubuhkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) bersama beberapa wakil rakyat daripada parti itu.

Kira-kira dua bulan kemudian Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh, yang merupakan bekas penolong setiausaha agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), mengumumkan penubuhan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Menjawab soalan mengenai kemungkinan pilihan raya negeri diadakan tahun ini, Adenan berkata beliau masih ada banyak perkara yang belum diselesaikan.

Sementara itu Adenan dilaporkan akhbar berkenaan sebagai berkata lebih 300,000 anggota PBB direkodkan di Sarawak tahun ini namun kira-kira 20,000 daripadanya dikenal pasti belum mendaftar sebagai pengundi.

"Kita juga mengadakan kempen menambah keahlian dan turut melancarkan laman web, www.pbb.org.my, yang menyediakan pautan pendaftaran atas talian bagi pengambilan ahli baharu secara mudah tanpa kerenah birokrasi melampau," katanya.

Artikel Lain