suria

Perubahan Musim: Pendaratan Ikan Di Terengganu Menurun

KUALA TERENGGANU: Kadar pendaratan ikan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di seluruh Terengganu menurun sebanyak 30 peratus pada tahun lepas berbanding 2013.

Pengarah LKIM negeri Mohd Zahid Mohd Nor berkata pada 2014, pendaratan ikan di Terengganu adalah 35,767 metrik tan dengan nilai RM135 juta berbanding 52,800 metrik tan bernilai RM162 juta pada 2013.

"Penurunan tangkapan ini mungkin disebabkan perubahan musim kerana ia juga mempengaruhi kadar pendaratan ikan di negara ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Khamis.

Menurut beliau, musim tangkapan tertinggi pada tahun lepas ialah pada Ogos hingga September iaitu 8,000 metrik tan berbanding dua bulan yang sama dicatatkan pada 2013 sebanyak 17,000 metrik tan.

Beliau berkata pendaratan ikan di Terengganu dari tahun ke tahun berbeza-beza kuantitinya.

Sebagai contoh, Mohd Zahid berkata laporan pendaratan pada 2011 adalah sebanyak 33,600 metrik tan, ini diikuti 2012 (41,300 metrik tan) dan 2013 (52,800 metrik tan).

Katanya sistem e-pengisytiharan kini digunakan oleh LKIM bagi mendapatkan maklumat pendaratan ikan di seluruh negeri Terengganu.

"Kita ada letakkan pegawai di stesen-stesen pendaratan ikan LKIM di sepanjang pantai, bila nelayan mendaratkan ikan, mereka diwajibkan mengisytiharkan tangkapan ikan mereka untuk mendapatkan subsidi diesel," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga memutuskan pengisytiharan bayaran insentif tangkapan untuk mendapatkan subsidi minyak dibayar kepada Bot-bot Nelayan Enjin Dalam yang mendaratkan ikan di kompleks LKIM.

Menurut beliau jika nelayan mendaratkan ikan, bukan di jeti LKIM, mereka tidak akan dibayar insentif tangkapan yang telah berkuat kuasa sejak 1 Mac 2015.

Insentif bagi zon A, B dan C diberi insentif 10 sen untuk satu kilogram bagi zon C2 dibayar 20 sen untuk satu kilogram.

LKIM, Ikan

Artikel Sebelum

Artikel Lain