suria

Penuntut USM Maut Kemalangan Di Acheh, Tujuh Cedera

Muhamad Izzamir Nabihan A. Majid. Gambar dari akaun Facebook Izzamir Nabihan.

GEORGE TOWN: Seorang penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) maut manakala tujuh yang lain cedera apabila bas yang membawa 24 anggota rombongan akademik universiti itu ke Acheh, Indonesia terlibat dalam kemalangan pada Rabu.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata penuntut yang maut dalam kemalangan pada 7 malam waktu Acheh itu ialah Muhamad Izzamir Nabihan Abdul Majid, 23, pelajar tahun akhir Kejuruteraan Sumber Mineral.

Muhamad Izzamir Nabihan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Kesihatan Masyarakat Geumpang, Acheh.

Beliau berkata dua daripada tujuh orang yang cedera ringan itu dimasukkan ke rumah sakit dan pusat kesihatan masyarakat berhampiran lokasi kejadian.

"Pihak universiti berdukacita atas kemalangan yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Pihak keluarga mangsa juga telah dihubungi untuk dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata rombongan itu membawa 24 orang yang terdiri daripada 18 penuntut dan enam kakitangan termasuk pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.

"Bas yang mereka naiki terbabas ke kawasan curam ketika dalam perjalanan pulang dari kawasan lawatan tempat perlombongan arang batu di Geumpang PD Acheh," katanya.

Omar berkata pasukan dari USM juga akan dihantar ke Acheh untuk urusan membantu penuntut dan staf yang terlibat.

Sehingga kini rakan-rakan Universitas Syiah Kuala, Persatuan Pelajar Malaysia di Acheh dan Alumni USM di Acheh sedang memberi bantuan untuk proses mengurus dan membawa pulang semua warga USM yang terlibat, katanya.

Beliau berkata pihak USM juga sehingga kini telah menubuhkan bilik gerakan bagi membantu urusan mangsa kemalangan dengan bantuan Konsulat Malaysia di Medan.

"Sebarang pertanyaan pihak keluarga mangsa boleh menghubungi Timbalan Pendaftar Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Husin Yahya di talian 019-4721159," katanya.

Acheh, USM

Artikel Lain