suria

Sindiket Permit Palsu Tumpas

IPOH: Polis menumpaskan satu sindiket mengeluarkan permit palsu dengan penahanan 20 individu, termasuk dua dalang yang mengendalikan kegiatan itu lebih daripada setahun, dalam tiga serbuan sekitar Sitiawan, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Superintenden Maszely Minhad berkata tangkapan itu melibatkan seorang warga tempatan dan seorang warga Pakistan yang menjadi dalang sindiket manakala 18 lagi merupakan pekerja asing.

"Kesemua mereka yang ditahan berumur lingkungan 20 hingga 46 tahun," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada Isnin.

Beliau berkata tangkapan pertama dilakukan sepasukan anggota polis membabitkan tiga lelaki warga India dalam sebuah kereta tanpa dokumen pengenalan diri pada 1.30 pagi di Sitiawan.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta suspek, polis merampas sebuah kotak yang mengandungi 38 pasport India, lapan pasport Pakistan dan 14 pasport Myanmar yang mana masing-masing disyaki mengandungi permit kerja pekerja asing palsu.

"Polis turut menemui 24 salinan fotostat pasport dan gambar bersaiz pasport," katanya.

Maszely berkata hasil soal siasat, seorang daripada suspek mengaku menjalankan kegiatan itu selain membekalkan pekerja asing kepada syarikat di sekitar Manjung.

Susulan itu, beliau berkata polis menahan 15 lelaki warga India dipercayai pendatang tanpa izin serta merampas sebuah komputer riba dan tujuh unit pendrive dalam serbuan kedua di dua premis di Sitiawan pada kira-kira 2.30 pagi.

Dalam serbuan berikutnya, dua lagi ditahan disyaki dalang sindiket itu, di sebuah kedai dipercayai tempat mencetak permit palsu pada 4.45 pagi, katanya.

"Polis percaya suspek warga tempatan itu merupakan bekas tentera yang pernah lari semasa bertugas di Sabah. Kami sedang mengesahkan perkara itu dengan pihak Kementerian Pertahanan," katanya.

"Pemeriksaan lanjut dalam kedai terbabit, polis merampas barang untuk mencetak antaranya dua buah komputer riba yang mengandungi sampel permit dan pelbagai jenis sijil yang telah diimbas, sebuah mesin cetak, tiga pasport, 46 keping salinan fotostat pasport warganegara asing, 10 keping gambar bersaiz pasport dan lima keping kertas sijil kosong," katanya.

Maszely berkata modus operandi sindiket yang bertindak sebagai ejen dipercayai membekalkan pekerja asing kepada syarikat di sekitar Sitiawan dan Manjung dengan menggunakan pendatang tanpa izin.

"Sindiket ini menggunakan permit pekerja asing palsu dengan memperdaya majikan di syarikat terbabit bahawa pekerja asing yang dibekalkan mempunyai permit kerja yang sah.

"Mereka juga mengenakan bayaran RM4,000 hingga RM5,000 kepada syarikat yang menggaji pekerja berkenaan iaitu sama seperti ejen yang sah.

"Mereka turut menyediakan tempat penginapan dan pengangkutan untuk pekerja dengan mengenakan bayaran bulanan kepada pekerja. Sindiket ini juga akan menerima komisen daripada gaji bulanan pekerja sepanjang pekerja ini bekerja dengan syarikat tersebut," katanya.

Beliau berkata sindiket terbabit turut menyediakan sijil kemahiran palsu untuk pekerja warga asing bagi meyakinkan pihak syarikat bahawa pekerja itu mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu, khususnya pembinaan.

"Kita juga percaya yang pekerja asing tersebut tidak tahu bahawa mereka turut ditipu kononnya mempunyai permit yang sah untuk bekerja," kata Maszely yang menggangap penahanan itu adalah yang terbesar pada tahun ini.

Beliau berkata dua suspek yang disyaki dalang sindiket itu ditahan reman sehingga Khamis ini manakala 18 lagi dalam tahanan reman Jabatan Imigresen sehingga 16 Mac depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara mandatori setahun atau maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Maszely meminta syarikat atau individu yang menggaji pekerja melalui sindiket itu tampil membuat laporan polis.

"Selain itu, pihak polis turut menasihati orang awam supaya berhati-hati sebelum menggaji pekerja asing agar tidak tertipu dengan sindiket yang membekalkan pekerja asing menggunakan permit kerja palsu," katanya.

Polis, Permit Palsu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain