suria

Polis Tembak Mati Dua Suspek Samun, Bunuh

TAPAH: Polis menembak mati dua lelaki disyaki terlibat dalam kes samun dan bunuh dalam kejadian berbalas tembakan di Air Kuning di sini pada 23 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Som Sak Din Keliaw berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira 5.30 pagi apabila Wong Chun Ming, 41, dan Lee Yoke Kong, 62, yang menaiki kereta Proton Waja, melepaskan tembakan ke arah polis yang mengejar mereka selepas enggan diperiksa pihak polis.

Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kemudian membalas tembakan dan menembak mati kedua-dua lelaki, katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Tapah, Isnin.

Beliau berkata anggota polis berkenaan sedang menjalankan rondaan bagi Ops Cantas dan Ops Limau ketika terserempak dengan kereta kedua-dua lelaki yang berada di tepi jalan di kawasan Kampung Gajah menghala Air Kuning, sebelum menghampiri kereta itu, yang kemudiannya memecut laju.

"Bagaimanapun, kereta mereka berjaya dipintas dan suspek cuba keluar dari kenderaan untuk melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis," katanya.

Beliau berkata kedua-dua lelaki mati di tempat kejadian.

Som Sak berkata siasatan mendapati kedua-dua lelaki masing-masing mempunyai 11 dan 15 rekod jenayah, termasuk kes bunuh di Petaling dan kes samun bersenjata di Gunung Rapat pada 20 Feb lepas.

"Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan suspek turut menemui sepucuk pistol mengandungi 6 butir peluru, yang mana dua daripadanya telah digunakan, dan sebilah parang," katanya.

Sementara itu, pada 3 Mac lepas, polis menahan tiga pelajar yang disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar Sungkai.

Som Sak berkata penahanan kesemua suspek berusia lingkungan 15 hingga 17 tahun itu dilakukan selepas seorang daripada mereka ditahan polis yang sedang melakukan rondaan di Jalan Menderang, Sungkai.

"Suspek yang menaiki motosikal gagal mengemukakan nombor pendaftaran dan dibawa ke Balai Polis Sungkai untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati motosikal berkenaan adalah motosikal curi dan suspek mengaku melakukan jenayah itu bersama-sama dua lagi rakannya.

"Kita juga telah menahan dua rakannya Khamis lalu dan merampas empat rangka motosikal disyaki dicuri yang telah dibuang di belukar Jalan Jernang, Sungkai," katanya.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Polis, Bunuh, Tembak

Artikel Lain