suria

Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Bermula

KUALA LUMPUR: Persidangan pertama Dewan Rakyat bagi penggal ketiga Parlimen Ke-13 membuka tirainya dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Ketibaan Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Sultanah Haminah Hamidun di perkarangan bangunan Parlimen disambut dengan 21 das tembakan meriam yang dilepaskan oleh Kor Armor Diraja Malaysia, Sungai Besi.

Turut menyambut keberangkatan tiba Baginda berdua adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri masing-masing.

Baginda kemudian diiringi ke pentas diraja dan sejurus kemudian lagu kebangsaan dimainkan oleh pancaragam pusat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum menerima tabik hormat daripada pegawai anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Sungai Besi.

Dewan Rakyat akan bersidang selama sebulan bermula pada Isnin sehingga 9 April ini.

Persidangan kali ini dijangka tegang berikutan ketiadaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Dewan Rakyat yang dipenjara kerana kesalahan meliwat.

Jabatan Penjara sebelum ini menolak permohonan pakatan pembangkang untuk membenarkan Anwar menghadiri sidang Parlimen pada Isnin.

Antara isu yang akan menjadi perhatian ialah pembentangan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (Pota) yang bertujuan memperkasakan lagi undang-undang keselamatan negara sedia ada dan mempertingkatkan usaha menangani ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS).

Dewan Rakyat, Parlimen