suria

Kenyataan Interim Penuh Oleh Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370

KUALA LUMPUR: Berikut ialah kenyataan penuh Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia bagi MH370:

1. Kenyataan Interim Ini* telah disediakan di bawah Bab 6, perenggan 6 Lampiran 13 ICAO** untuk memberi maklumat mengenai perkembangan siasatan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS)  MH370, sebuah pesawat Boeing 777-200ER, didaftarkan 9M-MRO.

Penerbangan penumpang berjadual antarabangsa menuju ke Beijing, dengan membawa 239 orang (227 penumpang dan 12 anak kapal), berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 7 Mac 2014 [0042 MYT (Waktu Malaysia) pada 8 Mac 2014]. Kurang 40 minit setelah berlepas, Menara Kawalan Trafik Udara terputus hubungan radar dengan pesawat ini selepas ia laluan IGARI.

2. Sebagai Negara yang Terikat dengan ICAO dan mengikut Bab 5, perenggan  5.3*** Lampiran 13 pada Konvensyen mengenai Siasatan Kemalangan dan Insiden Pesawat Penerbangan Awam Antarabangsa, sebagai Negara Berdaftar yang bertanggungjawab untuk menyiasat keadaan kemalangan dan insiden yang serius.

3. Menteri Pengangkutan Malaysia telah menubuhkan pasukan penyiasatan keselamatan bebas di bawah peraturan 126(1) *** Peraturan Penerbangan Awam  Malaysia (MCAR) 1996 dikenali sebagai "Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 ICAO bagi MH370" untuk menjalankan siasatan terhadap insiden kehilangan Penerbangan MH370.

Pasukan penyiasatan mengandungi 19 anggota yang diketuai oleh seorang Ketua Inspektor/Penyiasat Bertanggungjawab, terdiri daripada tiga Jawatankuasa iaitu Operasi, Kelayakan Terbang dan Faktor-faktor Perubatan/Manusia, masing-masing diketuai oleh seorang Pengerusi. Turut menyertai pasukan ini ialah Wakil Bertauliah dari tujuh***** Pertubuhan Penyiasatan Kemalangan dan Insiden Udara  Antarabangsa.

4. Satu-satunya matlamat penyiasatan sesuatu kemalangan atau insiden adalah  pencegahan kemalangan atau insiden pada masa hadapan. Ia bukanlah tujuan aktiviti ini untuk meletakkan kesalahan atau liabiliti, seperti dinyatakan dalam perenggan 3.1 Lampiran 13.

5. Kenyataan Interim Ini dikeluarkan mengenai perkembangan siasatan sehingga 7 Mac 2015 dan berdasarkan maklumat fakta yang dikumpul mengikut Seksyen 1.1 hingga 1.19 dalam Lampiran kepada Lampiran 13. Butiran maklumat fakta boleh diperolehi melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan: www.mot.gov.my.

6. Pasukan Penyiasatan, sejak itu, telah mengumpulkan maklumat fakta mengenai MH370 (9M-MRO) yang termasuk, antara lain, perkara-perkara berikut:-

6.1 Rakaman radio dan pita radar Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) serta transkrip komunikasi radiotelefoni antara pesawat dan Pengawal Trafik Udara dan antara Pengawal Trafik Udara Pusat ATC Ho Chi Minh dan Singapura; dan antara Pengawal Trafik Udara dan Pusat Operasi MAS di KLIA;

6.2 Menerima penjagaan dan mengkaji rekod-rekod penyenggaraan pesawat, termasuk penyenggaraan pakej semakan, log teknikal, arahan layak terbang, modifikasi dan pembaikan, laporan kejadian mandatori, laporan berat muatan dan imbangan, jadual penyenggaraan, sijil kelayakan terbang dan dokumen-dokumen berkaitan;

6.3 Menjalankan sesi simulator untuk membangunkan semula profil penerbangan pesawat dan operasi sistem;

6.4 Menemu bual lebih 120 orang dari Jabatan Penerbangan Awam, MAS, waris anak kapal, pengisi minyak pesawat, penyaji makanan untuk penerbangan, pencuci pesawat, pengendali dan operator kargo, penghantar barangan, pembekal dan penerima konsain;

6.5 Mengunjungi pengendali kargo, penghantar barang dan penerima konsain bateri ion litium dan buah manggis, tempatan (Subang, Pulau Pinang dan Muar) dan seberang laut (Beijing dan Tianjin di China) untuk pengumpulan data dan temu bual;

6.6 Melawat Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur Subang dan Pejabat Perkhidmatan Trafik Udara KLIA, Air Nav Indonesia, Medan (Indonesia), Southern Region Air Traffic Services Company, Bandaraya Ho Chi Minh (Vietnam), DCA, Bangkok (Thailand) dan Lembaga Penerbangan Awam Singapura (Singapura) untuk pengumpulan data dan temu bual.

7. Dalam hubungan ini, Pasukan Penyiasatan menekankan bahawa maklumat fakta yang dikumpulkan sehingga kini dan disiarkan dalam laman sesawang Kementerian Pengangkutan adalah bersifat interim dan maklumat baharu yang diperoleh mungkin mengubah maklumat ini sebelum penerbitan Laporan Akhir.

Pasukan Penyiasatan menjelaskan maklumat fakta yang dikumpulkan mengandungi fakta-fakta sehingga tarikh semasa sahaja dan maklumat ini disediakan pada masa ini semata-mata untuk memaklumkan kepada industri penerbangan dan orang awam mengenai situasi umum kemalangan MH370 dan harus dianggap sebagai sementara serta tertakluk kepada pindaan atau pembetulan jika keterangan tambahan diperoleh.

Berita selanjutnya menyusul

ICAO, MAS, MH370

Artikel Lain