suria

Pelajar Cemerlang Dinasihati Tidak Ghairah Sambung Pelajaran Ke Luar Negara

Idris Jusoh

BESUT: Pelajar yang lulus cemerlang dalam peperiksaan awam dinasihati supaya tidak ghairah memilih untuk ke luar negara bagi menyambung pelajaran tanpa mendapat bimbingan terlebih dahulu, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya, ini adalah kerana pendidikan yang disediakan di dalam negara melalui Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mahupun swasta adalah diyakini dan sesetengah daripadanya adalah lebih cemerlang tarafnya daripada yang terdapat di luar negara.

Menurut beliau, berdasarkan laporan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), pengajian pendidikan di Malaysia bukan sahaja berpatutan, malah mudah diakses dan berkualiti tinggi.

"Kita tidak halang mereka belajar di luar negara, cuma pelajar perlu bijak memilih kerana kadangkala terdapat universiti luar negara yang disertai mereka tidak mampu memberikan pendidikan terbaik hingga menyebabkan mereka pulang dengan hanya memiliki ijazah yang tidak seiring dengan keperluan dalam negara," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Imtiaz Besut di Kampung Raja di sini.

Idris berkata, beberapa IPT dalam negara kini mampu menyediakan pendidikan yang terbaik dan ada antaranya mampu mengatasi universiti luar negara dalam bidang-bidang tertentu seperti kejuruteraan, bioteknologi, ICT , pertanian, pengajian bahasa mahupun perubatan.

Katanya, beberapa IPT dalam negara seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menduduki ranking terbaik di antara universiti dunia berdasarkan 'QS World Universities Ranking and Rating' termasuk yang dinilai pada 'Best Global Universities Ranking'.

Idris berharap guru dan ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membantu anak membuat pemilihan dengan memilih bidang mengikut keperluan negara agar anak dan ibu bapa tidak kecewa suatu hari nanti kerana terpaksa sekali lagi menyambung pelajaran dalam negara berikutan gagal mengikuti corak pembelajaran di luar negara, sekali gus merugikan masa dan perbelanjaan.

Idris Jusoh, SPM, IPTA

Artikel Lain