suria

SMK Pondok Upeh Balik Pulau Bakal Jadi Sekolah Elit

BALIK PULAU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh di sini bakal dijadikan sekolah elit selewat-lewatnya hujung tahun ini, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad.

Beliau berkata, sekolah yang dibina sejak 2010 itu akan menghimpunkan pelajar yang memperoleh 5A dan 4A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan cemerlang dalam bidang sukan dari sekitar kawasan Parlimen Balik Pulau.

"Ia bagi memberi ruang kepada mereka meneruskan pengajian peringkat menengah di kampung halaman sendiri dan diharap pencapaian cemerlang mereka dapat dipantau dan berterusan sehingga ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pameran Pendidikan Balik Pulau 2015 yang dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau.

Katanya, dua blok asrama yang dijangka mampu menampung 100 pelajar lelaki dan 100 pelajar perempuan sedang dalam proses pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, Dr Hilmi berkata, langkah itu sebagai usaha menjadikan Balik Pulau sebagai hab pendidikan yang setakat ini terdapat lebih 20 sekolah termasuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Beliau menggesa anak jati Balik Pulau memanfaatkan pelbagai pakej pendidikan yang disediakan kerajaan sesuai dengan potensi dan keupayaan diri mereka.

Artikel Lain