suria

Sahkan Akaun 1MDB Keputusan Adil - Muhyiddin

Muhyiddin bergambar bersama Wanita Umno Bahagian Pagoh ketika menghadiri majlis 'Gelombang Merah' di Kompleks Pekembar di Pagoh.

MUAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan pendiriannya serta menegaskan bahawa keputusan untuk mengesahkan akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh Ketua Audit Negara (AG) 'merupakan keputusan yang adil' dan mengambil kira kepentingan umum.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa kenyataannya semalam bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan menambah beliau bukan hanya menyuarakan apa yang dibincangkan oleh Kabinet membabitkan isu itu, malah lebih jauh daripada itu.

"Saya tidak fikir begitu, jika anda baca betul-betul dan memahami apa yang saya tulis dalam kenyataan saya, saya rasa ia merupakan kenyataan yang adil.

"Ia merupakan keputusan yang adil. Ia bukan bercanggah dengan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas pertemuan tertutup dengan Wanita UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, di sini, Sabtu.

Beliau mengulas arahan Najib pada Rabu yang mahukan AG membuat pengesahan ke atas akaun syarikat itu.

Najib juga berkata laporan AG itu kelak akan diserahkan kepada PAC untuk ketelusan.

Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh berkata AG perlu diberikan sumber yang diperlukan untuk menjalankan tugas mereka dengan berkesan.

Selain itu, Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang akan turut terlibat dalam isu itu juga selari dengan keputusan Kabinet, katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan pengurusan 1MDB supaya memastikan setiap perancangan mereka tidak meletakkan kerajaan dalam 'kedudukan yang sukar'.

"Saya ingatkan bahawa 'tidak ada usaha menyelamat' kerana saya yakin rakyat Malaysia mahukan jaminan itu," katanya.

Semalam, Muhyiddin berkata, dana awam tidak harus digunakan untuk menyelamat  1MDB, dan menambah bahawa lembaga pengarah mesti bertanggungjawab terhadap salah laku yang dikesan.

Muhyiddin Yassin, 1MDB, AG

Artikel Lain