suria

Sirul Bersyukur Dapat Perlindungan Di Australia - Mahfuz

Piah (kanan) dan Noriatin berjaya bertemu Sirul pada Selasa.
PETALING JAYA: Sirul Azhar Umar, yang didakwa atas sabitan membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu berterima kasih kepada kerajaan Australia diatas perlindungan yang diberikan terhadapnya, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Kami tidak membincangkan mengenai kes Altantuya. Kami masih belum bercakap mengenai masa depannya di Australia. Dia bersyukur di atas perlindungan yang diberikan kerajaan Australia, walaupun dia berada di pusat tahanan Imigresen," kata Mahfuz kepada The Star Online pada malam Selasa.

Beliau berkata sekumpulan tujuh individu bertemu Sirul di pusat tahanan Villawood di Sydney.

Kumpulan tersebut termasuk seorang peguam, ibu Sirul, Piah Samad, 72 dan adik perempuannya, Noriatin Omar, 37.

Ketika ditanya mengenai pertemuan itu, Mahfuz berkata: "Sirul menghabiskan masa selama dua jam berbual dengan ibu dan adiknya mengenai keadaannya di Australia. Kami akan bertemu semula dengannya esok (Rabu), lusa dan Jumaat ini."

Mahfuz menegaskan pertemuan itu dilakukan atas dasar kemanusiaan.

"Ia misi kemanusiaan untuk membenarkan Sirul bertemu keluarganya," kata Mahfuz yang tiba di Sydney pada Isnin lalu.

Pada 23 Februari lalu, beliau mengadakan telesidang bersama Sirul yang didakwa atas kesalahan membunuh model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu untuk merungkai misteri kejadian itu.

Bagaimanapun, sidang media tersebut dibatalkan selepas beberapa usaha untuk menghubungi Sirul tidak berjaya.

Sirul menghubungi Mahfuz kembali dua jam kemudian dengan berkata beliau hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemberita kerana membuat liputan telesidang tersebut.

Sirul berlepas ke Australia pada Oktober 2014 selepas Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membebaskannya pada Ogos 2013.


Artikel Lain