suria

Malaysia Kaji Kaedah Kurangkan Risiko Fiskal

Ali Hamsa

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mengkaji kaedah untuk mengurangkan risiko fiskal tanpa menjejaskan insentif kepada sektor swasta di bawah perkongsian awam-swasta (PPP).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, langkah itu mungkin melalui kaedah membangunkan petunjuk sektor awam dalam penilaian projek PPP dan melaksanakan PPP yang inovatif menggunakan keupayaan sektor swasta dengan cekap.

"Projek-projek prasarana akan terus relevan dalam PPP, walaupun dengan memberi tumpuan kepada bidang baharu, misalnya teknologi hijau dan reka bentuk cekap tenaga serta pemilihan projek seperti membuka perbandaran baharu dan strategik, kawasan seperti pembangunan koridor dan bandar," katanya dalam ucapan khas beliau pada Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa (IDS) 2015 di sini, Selasa.

Beliau berkata, kerajaan berjaya menjimatkan RM211.3 bilion dengan pelaksanaan  698 projek PPP dari 1983 hingga Disember 2014.

Katanya, ia termasuk jumlah perbelanjaan modal sebanyak RM195.6 bilion, perbelanjaan operasi (RM9.3 bilion) dan hasil daripada jualan aset dan ekuiti kerajaan (RM6.5 bilion).

"Malaysia memperoleh banyak pencapaian melalui aturan PPP, termasuk 31 lebuh raya bertol dan jambatan, serta 12 kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara," katanya.

Ali berkata, pelaburan swasta dijangka memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ekonomi, menyumbang 17.5 peratus kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun lepas.

IDS 2015 selama dua hari yang bermula semalam merupakan anjuran bersama Razak School of Government (RSOG) dan Akademi Pengarah Malaysia (Minda).

Ia menampilkan lebih 30 penceramah terkemuka tempatan dan antarabangsa yang membincangkan isu, cabaran dan potensi peningkatan kepada PPP.  

Artikel Berikut

Artikel Lain