suria

Umno Terus Relevan Bawa Hala Tuju Negara Lebih Baik - Shafie

Shafie Apdal.
TASEK GELUGOR: Kejayaan mengharungi pelbagai cabaran menerusi pentadbiran Umno dan Barisan Nasional (BN) telah membuktikan rekod cemerlang parti itu dalam membawa hala tuju negara ke arah lebih baik.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata transformasi yang dilaksanakan menerusi pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang diterajui BN membuktikan perikatan berkenaan terus relevan dalam membela nasib orang Melayu dan agama Islam serta tidak meminggirkan kaum lain.


"Bermula sebagai negara 'miskin' lebih 50 tahun lalu dan hanya bergantung kepada eksport bijih timah, Malaysia hari ini muncul sebagai negara membangun paling maju di dunia.

"Negara juga pernah menjadi negara miskin serta diuji dengan krisis ekonomi namun kita tidak rebah dan terus bersemangat melangkah ke hadapan," katanya semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.


Sementara itu Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata berhubung kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, BN akan menerima apa sahaja keputusan dan menghormati proses pengampunan yang tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

"Sekiranya berlaku (PRK Permatang Pauh), kita pasti akan letak calon sesuai yang diterima pengundi di sana.

"Ada persepsi yang menyatakan kerusi berkenaan kubu kuat pakatan pembangkang, tapi bagi saya tiada yang mustahil untuk kita tumbangkan mereka di sana tetapi mesti mempunyai gerak kerja yang berkesan," katanya.
Umno, relevan, Shafie Apdal

Artikel Sebelum

Artikel Lain