suria

AEM Ke-21 Kini Di kemuncak

Mustapa (enam dari kiri) selepas mempengerusikan Mesyuarat bersama Menteri-Menteri Ekonomi Asean (AEM) sempena Pemukiman AEM Ke-21 di Kota Baru, Jumaat.

KOTA BARU: Pemukiman Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) ke-21 sampai ke kemuncaknya apabila kesemua menteri-menteri ekonomi Asean dan Setiausaha Agungnya, Le Luong Minh, bertemu pad Ahad.

Hari terakhir pemukiman ini bermula dengan taklimat oleh Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean (ABAC), Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid mengenai maklum balas daripada sektor swasta mengenai Komuniti Ekonomi Asean.

Mohd Munir juga akan mengemukan tujuh cadangan dalam lapan sektor yang akan dilaksanakan sebelum AEC bermula bagi melancarkan penyepaduan rantau itu sebagai ekonomi tunggal, selain cadangan sebelum ini yang belum dilaksanakan seperti kad perniagaan dan laluan Asean di kesemua pintu masuk antarabangsa.

Antara cadangan yang akan dikemukakan ialah penubuhan Persatuan Usahawan Belia Asean dan Persatuan Usahawan Wanita Asean bagi menangani keperluan dua kumpulan utama dalam struktur demografi rantau ini.

Turut dicadangkan ialah infrastruktur e-dagang serantau selain peluasan Program Latihan Asean melangkaui pusat latihan teknikal, vokasional dan universiti.

Selepas taklimat, dua sesi pemukiman akan berlangsung dengan menteri-menteri dijangka menimbangkan dan menyediakan panduan bagi kerja merangka visi ekonomi pasca 2015 dan pelan Asean.

Sebelum pemukiman berakhir, menteri-menteri terbabit dijadual melawat Kompleks Kastam, Kuarantin, Keselamatan, Imigresen dan Zon Bebas Cukai di  Rantau Panjang.

Lawatan itu akan membolehkan mereka melihat sendiri prosedur di sempadan dari segi pergerakan barangan, kenderaan dan penduduk merentas sempadan dan isu berbangkit di kompleks itu.

Ia juga akan mengetengahkan pentingnya dagangan sempadan dalam memacu peluasan dagangan sesama anggota Asean.

Bermula pada Jumaat, AEM ke-21 merupakan antara banyak mesyuarat Asean yang berlangsung sepanjang kepimpinan Malaysia dalam pakatan ekonomi itu tahun ini yang dipengerusikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pemukiman itu penting dalam menggerakkan pelan untuk penubuhan Komuniti Ekonomi Asean menjelang 31 Disember 2015.

Asean, ABAC, Mohd Munir Abdul Majid

Artikel Lain