suria

Pegawai Rela Mengaku Tak Bersalah Buat Tuntuan Palsu RM10,000

KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kuala Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Rabu terhadap 10 pertuduhan menipu dan membuat tuntutan palsu bernilai RM10,000.

Mohd Arzaman Mohd Ali, 54, didakwa menipu dengan mengemukakan dokumen palsu berhubung perkhidmatan membekalkan khidmat makanan untuk 10 siri Kursus Asas Pengenalan Rela di Daerah Setiu bermula Julai hingga Oktober 2011 di lokasi berbeza di daerah Setiu.

Mengikut fakta kes tertuduh telah memperdaya Muhammad Abu Bakar iaitu Pemangku Pengarah Rela Negeri Terengganu dengan mengemukakan dokumen sokongan kepada pesanan kerajaan.

Ia dilakukan melalui Norizan Mat Junoh, Pembantu Tadbir Kewangan untuk diproses bagi tujuan bayaran kepada pembekal iaitu Mohd Ramli Embong untuk pembekalan perkhidmatan makan dan minum sedangkan Kursus Asas Pengenalan Rela itu tidak pernak dilaksanakan.

Hasil perdayaan itu telah mendorong Muhammad Abu Bakar meluluskan baucar itu yang bernilai RM1,000 bagi setiap satu pesanan kepada pembekal.

Kesemua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh antara setahun sehingga 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 atau RM1,500 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain