suria

Kebakaran Pencawang Elektrik: Seorang Kakitangan TNB Meninggal Dunia

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang daripada tiga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terlibat dalam kejadian kebakaran di pencawang elektrik di Jalan Klang Lama, Isnin lalu, meninggal dunia hari ini akibat kecederaan yang dialaminya.

TNB dalam satu kenyataan di sini pada Rabu  berkata juruteknik, Mohd Ruzairi Razali, 34, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya kira-kira 1.10 tengah hari.   

Menurut kenyataan itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Balai Islam, Ibu Pejabat TNB di Jalan Bangsar sebelum dibawa ke Bukit Kecil, Kuala Terengganu untuk disemadikan.   

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berumur tujuh, lima dan tiga tahun.

Dua lagi warga kerja TNB yang turut cedera dalam kemalangan tersebut, Mohd Zaidi Mohd Shariff, 35 dan Norizan Abdullah, 59, kini stabil dan masih mendapat rawatan lanjut di Hospital Prince Court, menurut kenyataan itu.

Kejadian kira-kira 10.55 malam itu berlaku ketika tiga pekerja TNB berkenaan sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di pencawang elektrik itu.

Kebakaran berlaku apabila komponen elektrik dalam pencawang itu dipercayai meletup dan apinya menyambar ketiga-tiga pekerja berkenaan, menyebabkan ketiga-tiga mereka melecur 80 peratus. 

TNB

Artikel Lain