suria

Suri Rumah Hadapi Tuduhan Ubah Wang Haram RM63,000

KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini terhadap dua tuduhan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM63,000, dua tahun lalu.

Saripah Esah Syed Berahim, 45, didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara memasukkan wang sebanyak RM13,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputra (ASB) miliknya melalui Maybank cawangan Sungai Long, Kajang di sini pada 6 September 2013.

Dia yang tidak diwakili peguam turut didakwa melakukan kesalahan sama dengan memasukkan wang RM50,000 ke dalam akaunnya di RHB Bank, Taman Indah, Batu 11, Balakong di sini, pada 17 September 2013.

Bagi kedua-dua pertuduhan dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram  and  Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ida Masliza Maarof memohon kes dibicarakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bersama-sama beberapa lagi pertuduhan yang dihadapi Saripah Esah.

Hakim Suraya Mustafa Kamal membenarkan permohonan itu dan memerintahkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 2 Mac untuk sebutan kes di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

ubah wang haram, suri rumah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain