suria

Siasat Keciciran Wang Ihsan Mangsa Banjir

Gambar fail menunjukkan beberapa mangsa banjir berkongsi kegembiraan selepas menerima sumbangan wang ihsan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Ihsan Kepada Mangsa Banjir Daerah Bera baru-baru ini.
TEMERLOH: Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta menyiasat dakwaan yang mengatakan masih ada nama ketua keluarga mangsa banjir baru-baru ini tercicir daripada menerima bantuan wang ihsan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, beliau menerima aduan masih ramai lagi ketua keluarga terutamanya di daerah Temerloh yang layak menerima bantuan tetapi tidak memperolehnya.

Katanya, jumlah mangsa banjir daerah Temerloh bertambah daripada 3,000 keluarga sebelum ini berikutan ada yang berpindah ke rumah jiran, sanak saudara dan tidak ke pusat pemindahan.

"Sebelum ini seramai 3,000 mangsa banjir yang layak mendapatkan bantuan wang ihsan RM500, namun jumlah itu kini telah bertambah lebih 4,000 dan masih ramai belum menerimanya sedangkan mereka amat mengharap bantuan itu.

Sehubungan itu MKN perlu segera menyiasat dan memastikan bahawa mereka tercicir itu mendapat bantuan," katanya di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khee Chee, di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada lebih 1,500 ketua rumah mangsa banjir Dewan Undangan Negeri Semantan di sekolah berkenaan.

Walaupun wang ihsan itu sedikit, ia dapat membantu mengurangkan bebanan mangsa banjir terbabit untuk menguruskan keluarga masing-masing, kata beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Lanchang.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang turut memperuntukkan lebih RM2.4 juta bagi bantuan kepada pelajar terbabit banjir dengan setiap pelajar mendapat RM120 seorang.

Di daerah Temerloh sahaja 3,911 pelajar tersenarai mendapat bantuan berkenaan, katanya.
MKN, Mangsa Banjir, Wang Ihsan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain