suria

KPWKM Tunggu Hasil Siasatan Remaja Mahu Sertai Militan

Rohani beramah mesra dengan warga tua daripada pelbagai latar belakang, keturunan dan agama ketika mengadakan lawatan ke Rumah Seri Kenangan Kuching sempena Tahun Baru Cina. Turut sama Pengarah Kebajikan Sarawak, Abang Shamshudin Abang Seruji (kanan). -fotoBERNAMA

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menunggu terlebih dahulu hasil siasatan berhubung kes remaja perempuan yang ditahan kerana mahu menyertai kumpulan militan IS di Syria, sebelum mencadangkan sebarang tindakan lanjut diambil.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata beliau percaya kes itu akan dirujuk kembali kepada kementerian itu kerana remaja berkenaan masih di bawah umur.

"Biar polis siasat dahulu, tapi kes (bawah umur) biasanya akan dirujuk kepada pihak kami di bawah Akta Kanak-kanak. Kita tunggu apa sebenarnya berlaku untuk sebarang intervensi atau tindakan lebih cepat supaya perkara sebegini tidak lagi berlaku," katanya kepada pemberita semasa melawat Rumah Seri Kenangan di sini pada Jumaat sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau menyifatkan tindakan remaja berumur 14 tahun itu untuk menyertai kumpulan pengganas sebagai sangat mengejutkan.

Remaja berkenaan ditahan pada Rabu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika dipercayai mahu meninggalkan negara bagi menyertai kumpulan militan.

"Penahanan ini sebenarnya sesuatu yang sangat mengejutkan kerana remaja berkenaan baru berusia 14 tahun yang tahap kematangannya boleh dipersoalkan," kata Rohani.

Sehubungan itu beliau menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka.

Militan, IS, Negara Islam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain