suria

Lebih 53,000 PLKS Diperbaharui Secara Online

PETALING JAYA: Lebih 53,000 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja asing telah diperbaharui menerusi sistem dalam talian MyEG Service Bhd (MyEG) yang diperkenalkan sejak 1 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, pelaksanaan sistem baharu tersebut hanya berkuatkuasa mulai 5 Januari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, sambutan itu di luar jangkaan terutama selepas kaunter pembaharuan PLKS dibuka semula sehingga tamat tempoh Peringkat Pembuktian Konsep (POC) pada 28 Februari ini.

Sebelum ini, kaunter tersebut ditutup sebaik permohonan menerusi sistem dalam talian itu dikuatkuasakan, bagaimanapun Jabatan Imigresen memutuskan untuk membukanya semula pada 23 Januari  bagi memberi tempoh kepada majikan menyesuaikan diri dengan proses PLKS secara dalam talian.

Menurut Mustafa, sejumlah 1,641 pas diperbaharui secara dalam talian pada Disember tahun lalu, diikuti 35,267 (Januari) dan 16,444 (sehingga 13 Februari).

“Keseluruhannya sebanyak 53,352 PLKS diluluskan menerusi permohonan secara dalam talian sejak 1 Disember lalu sehingga 13 Februari.

“Perkembangan positif ini menunjukkan pelaksanaan kaedah baharu memperbaharui PKLS mendapat sambutan di kalangan majikan,” katanya menerusi temuramah bersama mStar Online.

Mustafa Ibrahim.

Mustafa berkata, sistem dalam talian itu bukan sahaja memudahkan majikan membuat pembaharuan permit tanpa perlu bersesak di kaunter, malah ia dapat mengelakkan kejadian ditipu ejen atau orang tengah.

Beliau menambah, keberkesanan pelaksanaannya dapat dilihat apabila kadar kesesakan di kaunter jabatan itu berkurangan sehingga 40 peratus.

“Jika di kaunter, kita hanya mengeluarkan antara 100 dan 150 nombor giliran setiap hari. Ada masanya seorang majikan membuat satu permohonan untuk sehingga 100 pekerja asing.

“Tetapi kalau secara dalam talian, antara 500 hingga 600 permohonan dibuat setiap hari,” kata Mustafa sambil menjangkakan bilangan permohonan itu meningkat selepas tempoh POC berakhir.

Ditanya adakah kaunter bagi memperbaharui PLKS akan terus dibuka selepas 28 Februari, Mustafa berkata, perkara itu akan dinilai dan diputuskan berdasarkan pencapaian sistem dalam talian sepanjang tempoh POC.

“Kita akan lihat selepas 28 Februari ini di mana kita akan menyediakan laporan mengenainya kepada kerajaan. Keputusan kerajaan nanti adalah berasaskan pencapaian.

“Kalau kerajaan kata boleh tutup kaunter maka kita tutup. Tetapi kalau kena buka, kita akan buka. Kita sebagai agensi pelaksana perlu akur keputusan kerajaan.

“Apapun kita akan usulkan apakah hasil daripada sistem dalam talian ini sepanjang  tempoh POC,” katanya yang mahu semua majikan mencuba dahulu sistem dalam talian ini bagi menilai keberkesanannya.

Beliau berharap majikan tidak memberi pandangan berasaskan persepsi yang dipengaruhi kenyataan negatif pihak berkepentingan.

“Ini mengenai perubahan sikap. Jika mereka cuba menyesuaikan diri sudah pasti dapat melakukannya,” katanya sambil menambah PLKS merupakan projek rintis bagi perkhidmatan dalam talian imigresen.

Imigresen, PLKS, MyEG

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain