suria

Muhyiddin Saksi Penyerahan Sumbangan Kepada 228 Sekolah Terjejas Banjir

Muhyiddin bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyaksikan Pengerusi baharu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Seri Dr Halim Shafie (kanan) menyampaikan cek untuk mangsa banjir berjumlah RM2,575,559.74 kepada Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Ogu Salim Omar (kiri) di pejabat TPM di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, Rabu.

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  menyaksikan penyerahan peralatan sukan dan barangan surau sumbangan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) kepada 228 sekolah yang terjejas banjir di Kelantan.

Sumbangan bernilai RM424,563 itu diserahkan Pengerusi YSS Datuk Zuraidah Atan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamed di Kementerian Pendidikan di sini.

Sumbangan berkenaan kemudiannya disampaikan kepada Pengarah Pendidikan negeri Kelantan Hussain Awang.

Daripada jumlah keseluruhan sekolah, sebanyak 165 sekolah menerima peralatan sukan seperti bola sepak, bola jaring, bola tampar, bola takraw, meja ping pong, raket badminton dan bulu tangkis, manakala 65 sekolah menerima peralatan surau seperti telekung, al-Quran dan sejadah.

Sumbangan tersebut merupakan kesinambungan daripada misi pasca banjir untuk membersih dan membaik pulih yang dilaksanakan yayasan itu di 19 buah sekolah di Kelantan melibatkan 5,000 sukarelawan.

Menurut kenyataan media YSS, sumbangan itu diharap dapat membantu sekolah-sekolah terbabit menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar.

Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan mengenal pasti 31 sekolah di beberapa daerah di negeri itu terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara hujung tahun lepas.

Artikel Lain