suria

Ahli Perniagaan Mengaku Tidak Bersalah Tipu RM1 Juta

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan syarikat perlombongan bijih besi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu terhadap pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan membabitkan RM1 juta, empat tahun lepas.

S. Ganesan, 39, didakwa menipu Armin Iskandar Abdullah, 43, untuk mempercayai bahawa dia boleh membekalkan 10,000 tan metrik "iron ore magnetite" gred minimum 62 peratus dari lombong miliknya.

Perbuatan itu didakwa mendorong Armin Iskandar menyerahkan wang deposit menerusi cek bernilai RM1 juta atas nama seorang lagi individu kepada Ganesan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di TM Selvam Trading, Off Jalan Chan Sow Lin, Cheras di sini pada 11 April 2011 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Bagaimanapun, peguam Datuk K. Kumaraendran memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Ganesan diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan.

Tipu, Penipuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain