suria

Polis Cari Wanita Simbah Asid Pada Suami

GEORGE TOWN: Polis sedang mengesan seorang wanita warga Thailand yang menyimbah asid pada suaminya di sebuah pangsapuri di Gat Lebuh Macallum, di sini pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Rahman Ahmad berkata Ops Tutup telah dijalankan di jalan keluar masuk utama negeri ini sejak semalam termasuk menjalankan pemeriksaan di terminal bas dan teksi untuk menjejaki suspek.

"Kami juga telah memaklumkan kepada pihak di sempadan Bukit Kayu Hitam dan berkemungkinan suspek masih lagi berada di Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.

Katanya menurut jiran, suspek berusia 29 tahun itu kerap bertengkar dengan suaminya yang bekerja sebagai tukang paip sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Beliau berkata suaminya yang berusia 47 tahun dan merupakan warga tempatan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang akibat melecur teruk di tubuh, sebahagian muka dan mata.

Rahman berkata dalam kejadian pukul 6.40 pagi itu, pengawal keselamatan yang sedang bertugas terdengar jeritan mangsa yang meminta tolong dari dalam rumahnya yang terletak di tingkat tiga.

Katanya pengawal keselamatan itu mendapati pintu rumah berkenaan berkunci sehingga terpaksa memecahkannya sebelum menemui mangsa dalam keadaan kesakitan di dalam bilik tidur utama.

Beliau berkata suspek turut melarikan kereta suaminya..

Asid, Polis, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Lain