suria

17,000 Saman Dikeluarkan Setiap Hari Sejak Ops Sikap Bermula

Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff
PETALING JAYA: Purata 17,000 saman telah dikeluarkan setiap hari sejak bermulanya Ops Sikap, Khamis lepas.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff  berkata dalam tempoh lima hari lalu, polis telah mengeluarkan sebanyak 87,350 saman.

"Antara kesalahan trafik yang diberi tumpuan dalam usaha kami ialah, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan, memotong di garisan berkembar, dan melanggar lampu merah.

"Mereka yang melanggar undang-undang trafik untuk kesalahan-kesalahan ini, tanpa belas kasihan akan tertakluk kepada kompaun maksimum RM300," katanya ketika dihubungi Selasa.

Mohd Fuad berkata sebanyak 75 kemalangan maut berlaku dalam tempoh lima hari yang menyebabkan 85 kematian.

"Pengguna motosikal membentuk majoriti daripada kematian dengan 55 kematian (62 peratus), diikuti oleh kereta (18 kematian, 20 peratus), pejalan kaki (lima kematian, enam peratus), penunggang basikal (tiga kematian) dan lain-lain (empat kematian).

"Pada hari biasa penunggang motosikal mencatatkan kira-kira 63 peratus daripada kematian akibat kemalangan jalan raya tetapi kami menjangkakan ia berkurangan disebabkan oleh operasi.

Beliau berkata secara keseluruhan kemalangan maut berlaku akibat kecuaian pemandu atau memandu laju.

Mohd Fuad menambah, kebanyakan kematian berdasarkan kategori umur adalah mereka yang berusia antara 16 dan 20 tahun (17 kematian) dan mereka yang berusia di antara 21 dan 25 tahun (sembilan kematian).

"Ini menunjukkan bahawa pemandu muda kurang menjaga keselamatan dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain," kata beliau sambil menggesa pemandu untuk memandu dengan selamat dan bertanggungjawab.

Mohd Fuad berkata Ops Tegas dan Kempen Hormat juga berjalan serentak dengan Ops Selamat Tahun Baru Cina ini.

"Kami berharap Ops Tegas akan membantu mengurangkan kematian di kalangan penunggang motosikal terutama mereka yang telah mengubahsuai enjin mereka sebelum ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkan pengguna jalan raya supaya memeriksa kenderaan mereka sebelum memulakan perjalanan.

Artikel Lain