suria

Polis Tumpas Kumpulan Samun, Curi Menyamar Kakitangan Jabatan Kesihatan

Mazlan menunjukkan barangan yang dirampas daripada Geng Sembur Ubat Nyamuk, Isnin.

NIBONG TEBAL: Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun dan curi yang menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kesihatan bagi menjalankan semburan asap nyamuk di asrama pekerja asing di sekitar negeri ini selepas menahan lima lelaki di Kamunting, Perak, 8 Februari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mazlan Kesah berkata, seorang daripada lelaki itu ditahan di sebuah rumah di Kamunting dan susulan itu empat lagi rakannya turut ditahan di kawasan sama.

"Mereka menyamar sebagai wakil Jabatan Kesihatan dan syarikat kawalan serangga perosak dan meminta mangsa keluar kononnya untuk melakukan semburan tetapi dalam masa sama mengambil peluang untuk mencuri barangan berharga seperti peralatan elektronik dan wang tunai," katanya pada sidang media, di sini, Isnin.

Beliau berkata, tiga daripada lima lelaki yang berusia antara 19 dan 27 tahun itu positif dadah manakala dua lagi mempunyai rekod jenayah.

Berdasarkan siasatan, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam 51 kes iaitu 19 kes di negeri ini membabitkan kerugian lebih RM100,000 dan selebihnya di Kedah, Perak dan Negeri Sembilan, katanya.

Mazlan berkata, polis turut merampas satu unit pam penyembur asap nyamuk, bahan kimia, sebuah telefon bimbit dan sebuah kereta pacuan empat roda yang digunakan kumpulan berkenaan untuk menjalankan aktiviti samun mereka.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan seorang lelaki, Mohd Nuzul Che Man, 27, berasal dari Kamunting, bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, mayat wanita Sikh yang ditemui terapung di perairan Sungai Udang, di sini Sabtu lepas adalah wanita yang dilapor diculik di Subang Jaya, Selangor sehari sebelum mayatnya dijumpai.

"Kes itu bawah siasatan Kontinjen Selangor dan polis di Pulau Pinang akan membantu siasatan kerana mayat ditemui di negeri ini," katanya.

Wanita berusia 60 tahun dan merupakan pengarah urusan sebuah syarikat kawalan keselamatan itu dilapor hilang selepas keluar bertemu rakan niaganya di sebuah premis di Bandar Sunway pada pukul 3.30 petang, Jumaat.

Suami wanita itu dilapor menerima panggilan telefon daripada seorang wanita meminta dia menyerahkan sejumlah wang jika mahu isterinya selamat.

Artikel Lain