suria

Perlis Bakal Miliki Dua Lagi Universiti - MB

Azlan Man

ARAU: Perlis bakal memiliki dua buah lagi universiti yang akan melonjak negeri ini sebagai pusat ilmu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kerajaan pusat telah meluluskan pembinaan sebuah universiti swasta di Chuping manakala Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menerima cadangan kerajaan negeri untuk mendirikan Institute of Railway Engineering (UniKL-IRE) di Padang Besar.

"Kedua-dua pusat pengajian ini terletak dalam kawasan Parlimen Padang Besar yang dijangka memberi impak mendalam terhadap pembangunan Perlis yang telahpun mempunyai tiga buah universiti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada 313 orang masyarakat Tionghua dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Pauh sempena Tahun Baharu Cina.

Golongan ibu tunggal dan orang miskin menerima RM150 seorang manakala anak-anak yatim RM100 seorang.

Azlan berkata, universiti swasta tersebut yang menjurus bidang teknikal bakal dibina berhampiran kawasan industri baharu di Chuping seluas 750 hektar yang akan dibangunkan tidak lama lagi.

Sementara pembinaan UniKL-IRE telah dibincangkan dengan Mara dan mendapat tanda postif, katanya.

"Saya melihat UniKL-IRE berpotensi dengan perkembangan industri keretapi termasuk dengan adanya perkhidmatan LRT, MRT dan mungkin pada masa hadapan trem serta pembinaan landasan keretapi Asean dari Malaysia ke China," katanya dan menambah sekiranya berjaya diwujudkan, UniKL-IRE bakal menjadi satu-satunya institusi pengajian berkaitan kejuruteraan keretapi pertama di Asean.

Perlis, Azlan Man, universiti, UniKL-IRE

Artikel Lain