suria

Projek 'Batal': Kidex Tunggu Maklum Balas Kerajaan Persekutuan

PETALING JAYA: Pemegang konsesi untuk projek kontroversi Lebuhraya Kinrara Damansara Expressway (Kidex) akan menunggu maklum balas daripada kerajaan Persekutuan berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali bahawa projek itu akan 'dibatalkan'.

Ketua Pegawai Eksekutif Kidex Sdn Bhd, Datuk Mohd Nor Idrus berkata kerajaan Persekutuan merupakan pihak kepada perjanjian konsesi yang ditandatangani pada November 2013.

"Sementara itu, kami akan meneruskan penglibatan kami dengan kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Mohd Nor berkata, tempoh yang ditetapkan untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah perjanjian tersebut telah dilanjutkan selama sembilan bulan lagi bermula 15 Februari.

Sebelum itu, Azmin berkata bahawa pembatalan lebuh raya kontroversi 14.9km adalah disebabkan kegagalan pemaju untuk memenuhi tiga syarat yang ditetapkan pada tarikh akhir yang ditetapkan, pada 14 Februari.

Kidex merupakan lebuhraya bertingkat 14.9km, yang boleh mencapai enam hingga lapan tingkat, bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan sebanyak 25 peratus antara Damansara dan Kinrara.
Kidex, Datuk Mohd Nor Idrus

Artikel Berikut

Artikel Lain