suria

BN Ambil Alih MIC, Palanivel Tentang

PUTRAJAYA: Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih pentadbiran MIC yang kini bergelut dengan krisis dalamannya mendapat tentangan Presiden parti itu, Datuk Seri G Palanivel.

Perkara yang diputuskan dalam pertemuan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam di Pejabat Perdana Menteri, pagi Isnin.

Bagaimanapun pertemuan itu tidak dihadiri Palanivel yang juga Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli dengan alasan terpaksa menguruskan masalah kesihatan isterinya dan beliau menghantar wakilnya iaitu ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk S Sothinathan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media berkata, BN akan membentuk sekretariat untuk campur tangan bagi mengelak kemelut dalaman MIC berlarutan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan perjalanan MIC lancar sehingga pemilihan semula, selain membantu mengatasi masalah cawangan yang diisytiharkan tidak sah oleh ROS.

Bagaimanapun, kata Tengku Adnan, BN masih menunggu maklum balas Palanivel berhubung perkara itu.

Susulan itu, Palanivel mengeluarkan kenyataan dengan nada tegas memaklumkan bahawa beliau tidak bersedia untuk membiarkan pihak ketiga iaitu BN untuk mengambil alih MIC.

"Timbalan Presiden MIC (Subramaniam) mungkin bersedia untuk membenarkan pihak ketiga mengambil alih MIC dan kehilangan maruah dan kehormatan, tetapi tidak bagi saya.

"Kita mempunyai Perlembagaan parti dan undang-undang yang relevan untuk mengurus dan menjalankan pilihan raya parti, jika perlu dan sebarang tindakan lain seperti yang dicadangkan akan menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah," katanya.

Beliau juga mengulangi kata-katanya pada Sabtu lalu bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk bertindak atau membuat keputusan serta memberi arahan seperti yang dilakukan terhadap MIC baru-baru ini.

Malahan, tambahnya lagi, pegawai ROS juga tidak mempunyai keperluan untuk menghadiri mesyuarat yang diadakan secara tidak sah pada Jumaat lepas.

"Sekarang, diumumkan bahawa kononnya sebuah sekretariat yang dipanggil Sekretariat Barisan Nasional akan mengadakan pilihan raya parti MIC.

"Ini sama sekali tidak boleh diterima.

"Saya masih terkejut bahawa Timbalan Presiden boleh bersetuju, ketika ketiadaan saya, untuk membiarkan orang lain mentadbir MIC.

"Ia betul-betul meletakkannya di tahap menjijikkan di mana seseorang boleh pergi sejauh itu agenda politik," katanya sambil menyatakan rasa tidak berpuas hati kerana wakilnya tidak dibenarkan menyertai pertemuan itu.

Sebaliknya, kata Palanivel, Sothinathan hanya dimaklumkan mengenai cadangan tetapi keputusan selebihnya adalah seperti yang diumumkan Tengku Adnan selepas pertemuan dengan Subramaniam.

Presiden MIC itu juga menegaskan bahawa BN tidak mempunyai bidang kuasa, sekali pun untuk mengambil alih pentadbiran atau mengendalikan pilihan raya parti kerana ia bertentangan dengan  Perlembagaan MIC serta Akta Pertubuhan 1966.

"Walaupun MIC merupakan parti komponen dalam BN, MIC masih parti politik yang mempunyai haknya tersendiri dan ditadbir oleh Perlembagaan parti.

"BN harus menghormati Perlembagaan MIC dan tidak menceroboh dalam pentadbiran MIC seperti yang dicadangkan," katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa pemilihan MIC 2013 dijalankan oleh CWC yang sama pada 2009, di mana ia dicabar oleh pelbagai pihak dan telah membawa kepada keadaan semasa parti.

Katanya, Tan Sri K Kumaran adalah Pegawai Pengurus Jawatankuasa Pilihan Raya parti yang menjalankan pilihan raya 2013 dan kembali melantik CWC  sama pada 2009 tentunya suatu penghinaan.

"ROS tidak boleh dalam apa-apa cara untuk membatalkan pemilihan saya sebagai Presiden MIC yang tidak diadakan pada Mesyuarat Agung tetapi oleh Pengerusi Cawangan mengikut Perlembagaan MIC.

"Yang paling penting, saya menang tanpa bertanding dan ia tidak boleh dipersoalkan oleh ROS," katanya sambil menambah kuasa beliau seperti yang termaktub dalam Perlembagaan MIC juga tidak boleh diambil oleh sesiapa termasuk ROS.

Tambahnya lagi, walaupun 17 Februari, 2015 ditetapkan untuk ROS menarik balik semua arahannya, tetapi pengumuman Tengku Adnan pada Isnin membuatkan ia tidak perlu menunggu sehingga tarikh itu.

"Saya telah mengarahkan peguam untuk memfailkan dokumen mahkamah yang perlu untuk mencabar keputusan dan tindakan ROS," katanya.

Pada 5 Disember lalu, ROS mengarahkan MIC supaya melaksanakan pemilihan semula untuk tiga jawatan naib presiden dan 24 CWC selepas memutuskan keputusan pemilihan parti pada 2013 tidak sah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya mengumumkan bahawa MIC akan melaksanakna pemilihan semula itu antara April dan Julai ini untuk menangani krisis yang dihadapi dan mengelak parti itu daripada didaftarkan semula.

Bagaimanapun, Palanivel mendesak ROS menarik balik arahan itu sebelum Selasa ini dan jika gagal pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain