suria

Krisis MIC: Palanivel Gantung 3 Pemimpin

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel menggantung A. Sakthivel, Senator Datuk Jaspal Singh dan Datuk V. Mogan sebagai anggota parti itu selama 12 bulan berkuat kuasa serta merta.

Palanivel berkata satu mesyuarat haram oleh kumpulan dianggap sebagai  Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC 2009 diadakan di ibu pejabat parti itu pada Jumaat lepas dengan dipengerusikan timbalan presiden, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Katanya permohonan untuk mengadakan mesyuarat itu dibuat melalui sepucuk surat bertarikh 11 Feb 2015 kepada Sakthivel yang dialamatkan sebagai setiausaha agung MIC.

"Permohonan itu ditandatangani beberapa individu, termasuk Sakhtivel, yang mendakwa dirinya sebagai setiausaha agung, Datuk Jaspal Singh sebagai bendahari agung dan Datuk V. Mogan sebagai pegawai penerangan MIC.

"Tindakan individu ini dengan jelas bercanggah dengan kepentingan MIC," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Palanivel berkata beliau mengeluarkan surat penggantungan itu semalam, yang akan diterima individu terbabit apabila tiba masanya.

"Dengan penggantungan keanggotaan mereka itu, mengikut Perkara 13.2 Perlembagaan MIC, mereka tidak boleh melaksankan hak sebagai anggota parti," katanya.

Palanivel berkata, sebagai presiden MIC, hanya beliau yang mempunyai hak mutlak untuk melantik setiausaha agung, bendahari agung dan ketua penerangan parti itu mengikut Perkara 46.5 dan 49 Perlembagaan Persekutuan.

"Saya telah melantik Datuk S.Sothinathan, Datuk S.Murugesan dan L. Sivasubramaniam, masing-masing sebagai setiausaha agung, bendahari agung dan ketua penerangan MIC," katanya.

Palanivel melantik Sakthivel sebagai setiausaha agung MIC pada Mei tahun lepas dan beliau menyandang jawatan itu hanya selama kira-kira tujuh bulan sebelum digantikan oleh A. Prakash Rao.

MIC dilanda krisis apabila Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga penyandang jawatan naib presiden dan 23 kerusi anggota CWC setelah mendapati wujud perkara melanggar peraturan dalam pemilihan pada November 2013.

Isnin lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan MIC akan mengadakan pemilihan baharu di semua peringkat, termasuk bagi jawatan presiden dan timbalan presiden dari April hingga Julai bagi mengelak MIC dibatalkan pendaftarannya.

Bagaimanapun, pada sidang media di ibu negara, semalam, Palanivel menuntut RoS menarik balik semua notisnya kepada MIC berhubung masalah parti itu menjelang Isnin ini, dan jika gagal berbuat demikian, ia akan diseret ke mahkamah.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata beliau akan memanggil Palanivel dan timbalannya, Dr Subramaniam untuk mendapatkan penjelasan tentang krisis yang melanda parti komponen BN itu minggu depan.

Ia akan merupakan kali kedua Najib mengadakan perjumpaan dengan dua pemimpin tertinggi parti itu itu berhubung krisis berkenaan setelah mengadakan pejumpaan kali pertama dengan mereka bulan ini.

MIC, G. Palanvel, BN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain