suria

Tiga Tentera Positif Dadah Dalam Sekatan Jalan Raya

MELAKA: Tiga anggota tentera antara 11 individu yang ditahan kerana positif dadah dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka sempena Tahun Baru Cina di Lebuh AMJ menghala ke Muar di sini, Sabtu malam.

Pengarah JPJ negeri Mohd Fadhil Hassan berkata ketiga-tiga lelaki itu masing-masing berusia 28, 28 dan 25 tahun yang menaiki sebuah kereta dari arah bandar Melaka ke arah Muar itu ditahan dalam keadaan berada di bawah pengaruh dadah (khayal) kira-kira pukul 11 malam tadi.

Beliau berkata saringan awal air kencing yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

"Lapan lagi individu iaitu tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 20-an hingga 30-an turut ditahan kerana positif dadah methamphetamine, morfin dan ganja," katanya kepada pemberita selepas tamat operasi berkenaan di sini, pagi Ahad.

Sementara itu, beliau berkata 95 daripada 950 kenderaan yang diperiksa diambil tindakan dan sebanyak 138 saman dikeluarkan dengan jumlah 140 kesalahan sepanjang operasi berkenaan.

Katanya kesalahan tertinggi direkodkan ialah tiada lesen memandu (93), tiada lesen kenderaan motor atau tamat tempoh (45).

Dalam perkembangan lain, Mohd Fadhil berkata sebanyak 50 anggota sukarelawan Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ) dan 110 pegawai dan anggota JPJ negeri akan ditugaskan sepanjang operasi penguatkuasaan sempena Tahun Baru Cina selama dua minggu sehingga 27 Feb ini.

"Pemeriksaan dan penguatkuasaan meliputi pelbagai aspek dan tumpuan diberikan terhadap kenderaan awam terutama bas ekspres di Terminal Bas Melaka Sentral," katanya.

Tentera, Dadah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain