suria

Isu Boikot Peniaga: Ismail Sabri Tak Niat Cetus Sentimen & Ketegangan Kaum

Ismail Sabri Yaakob

PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kesal kenyataannya berhubung isu boikot peniaga menimbulkan sentimen perkauman.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga menjelaskan beliau tidak berniat untuk mewujudkan ketegangan dan polarisasi kaum berhubung kenyataannya berkaitan boikot peniaga sebelum ini.

"Niat saya ketika membuat komen itu jelas ditujukan kepada peniaga yang masih enggan menurunkan harga barang tanpa mengira kaum," katanya menerusi kenyataannya di sini, Khamis malam.

Sehubungan itu, kata Ahli Parlimem Bera itu, semua pihak perlu bergerak ke hadapan dan sama-sama memberi fokus kepada usaha untuk menurunkan harga barang.

"Pengguna tanpa mengira kaum di negara ini juga perlu bersatu menggunakan kuasa dan hak pengguna bagi mendorong peniaga menurunkan harga barang sejajar dengan penurunan harga minyak," katanya.

Beliau juga memaklumkan, Kabinet bersetuju bahawa isu boikot peniaga yang tercetus dihentikan serta-merta kerana Barisan Nasional (BN) akan terus membela dan menjaga kepentingan semua kaum.

Katanya, perkara itu dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malahan, beliau berkata, Perdana Menteri sendiri meminta semua pihak menumpukan perhatian kepada usaha yang dapat memupuk perpaduan nasional.

Ini adalah kenyataan terbaharu Ismail Sabri berhubung isu boikot peniaga.

Terdahulu timbul kekeliruan apabila diedarkan kenyataan bersama beliau dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi memaklumkan persetujuan kedua-dua pihak untuk menamatkan serta-merta isu berkenaan.

Bagaimanapun, Tiong Lai yang juga Presiden MCA menafikan beliau mengadakan perbincangan dengan Ismail Sabri berhubung perkara itu, sekali gus mempersoalkan bagaimana kenyataan bersama itu diedarkan kepada media.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Wanita Maut Dihempap Kontena

Artikel Lain