suria

DEB Hanya Tongkat, Bukan Keistimewaan Orang Melayu - Tun M

Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) bukan hak keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera.

Sebaliknya, beliau mengingatkan golongan tersebut bahawa DEB hanya sekadar tongkat.

"Jika anda memerlukan tongkat, itu bermaksud anda sudah tua dan uzur. Penyusunan semula ekonomi bermakna anda perlu mengubah budaya masyarakat," katanya semasa berucap pada forum Dilema Malaysia di sini, Khamis.

Justeru beliau berkata, amalan perkongsian perlu dipraktikkan di negara ini.

"Bagaimana kita berkongsi itu dengan orang Melayu menyerahkan beberapa kuasa politik, begitu juga orang Cina, serahkan beberapa kuasa ekonomi kepada orang Melayu.

"Untuk berkongsi politik amat mudah. Oleh itu negara ini tidak pernah ditadbir oleh Melayu sahaja. Kurangkan orang Melayu di dalam politik tetapi lebihkan di bidang ekonomi," katanya.

Malah, Dr Mahathir berkata, disebabkan tanggapan DEB sebagai hak istimewa orang Melayu, beliau turut dituduh mengamalkan kronisme sewaktu memegang jawatan Perdana Menteri.

"Saya dituduh mengamalkan kronisme. Apabila anda cemerlang, anda dituduh amalkan kronisme tapi sekiranya gagal tiada seorang pun ambil tahu," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Wawasan 2020, Dr Mahathir berkata, Malaysia masih belum mampu mancapai status negara maju dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Untuk mencapai status negara maju, kita kena kuasai bidang industri, kejuruteraan, kajian dan pembangunan, ilmu pengetahuan dan persaingan. Saya tak nampak kita boleh capai sasaran itu," katanya.

Jelasnya, ketika ini, Wawasan 2020 diinterpretasikan sebagai pencapaian pendapatan perkapita dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi ia sebenarnya bukan satu ukuran dalam menentukan status maju sesebuah negara.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Mahathir mempertikaikan kredibiliti Datuk Seri Najib Tun Razak apabila dengan sinis berkata: "Saya akan letak jawatan jika jadi perdana menteri hari ini. Kalau kita kekal tanpa dapat sokongan, sampai kita bersara pun orang tak suka kita. Tolong mudahkan perkara ini untuk negara."



Tun Dr Mahathir, DEB

Artikel Lain