suria

Sekretariat Khas Diwujudkan Untuk Selaras Bantuan Pasca Banjir - Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) menyempurnakan Pelancaran Pembinaan Rumah Mangsa Banjir ketika melawat Kampung Aur Gading di Lipis pada Khamis. - fotoBERNAMA
LIPIS: Kerajaan mewujudkan sebuah sekretariat khas kekal di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi menyelia semua bentuk bantuan pasca banjir, termasuk pembinaan dan pembaikan rumah rosak, di negeri-negeri yang terjejas banjir baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa berkenaan yang akan diketuai Timbalan Ketua Pengarah ICU Datuk Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof akan dapat melicin dan mempercepatkan segala bentuk bantuan yang ingin disalurkan baik oleh kerajaan mahupun swasta. 

Beliau berkata Jemaah Menteri dalam mesyuarat mingguan Rabu lepas memutuskan supaya sebuah sekretariat tetap dan pasukan petugas ditubuhkan di bawah Timbalan Ketua Pengarah ICU, dibantu oleh beberapa agensi tertentu dan jabatan kerajaan.

"Ini bagi membolehkan segala urusan pasca banjir dapat dilaksanakan lebih tersusun dan teratur terutama pelaksanaan projek pembinaan rumah mangsa banjir yang musnah dan rosak teruk selain urusan pembaikan infrastruktur seperti jalan dan jambatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di Dewan Kampung Aur Gading, Kuala Lipis di sini Khamis.

Majlis turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Muhyiddin berkata kerja-kerja berkenaan sebelum ini diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun berikutan banjir luar biasa yang melanda negara akhir tahun lepas, urusan itu tidak lagi boleh dibuat secara sembilan atau sementara.

Ini, katanya, kerana semua bentuk bantuan yang hendak disalurkan terutama berkaitan pembinaan rumah yang musnah dan pembaikan semula rumah rosak memakan masa yang sama jika tidak disusun dan dirancang dengan baik.

"Ia (pembinaan semula rumah musnah dan pembaikan rumah rosak) bukan perkara yang mudah kerana ada isu tertentu yang perlu disemak dan teliti termasuk soal pemilikan tapak rumah," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata tapak tanah yang hendak dibina semula rumah perlu disahkan terlebih dahulu sama ada benar dimiliki mangsa banjir supaya tidak tersalah bina di atas tanah yang tidak dimiliki mereka. 

"Perlu ada siasatan dan semakan, jadi dengan adanya sekretariat ini, ia akan lebih memudahkan untuk menjalankan kerja-kerja tersebut," katanya.

Beliau berkata mengikut rekod, setakat ini terdapat kira-kira 10,000 rumah yang dilaporkan musnah dalam kejadian banjir tahun lepas dengan 2,610 buah daripadanya melibatkan rumah di Kelantan, manakala di Pahang 35 buah rumah.

Muhyiddin berkata sekretariat juga akan bertanggungjawab melantik kontraktor yag bertauliah di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk menjalankan kerja itu bagi memastikan kualiti rumah terjamin dan dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan lingkungan RM5,000 hingga RM10,000 untuk membaiki rumah yang rosak, manakala untuk pembinaan rumah baharu pula akan diberi bantuan sekitar RM48,000 hingga RM50,000.

Selain itu, Muhyiddin berkata sebagai tanda komitmen kerajaan membantu mangsa banjir meneruskan kelangsungan hidup, sekretariat berkenaan juga akan menyediakan peluang untuk mangsa banjir mencari semula sumber pendapatan mereka termasuk memulakan perniagaan.

Menurutnya pihak swasta dan badan bukan kerajaan yang ingin menyalurkan sumbangan juga boleh merujuk kepada sekretariat berkenaan bagi memastikan sumbangan dapat disalurkan secara adil supaya tidak tertumpu di satu-satu kawasan sahaja.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, timbalan perdana menteri berkata kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 bilion untuk memulihkan kembali negeri-negeri yang dilanda banjir, tidak termasuk kos pemulihan jambatan serta jalan raya sebanyak RM1.05 bilion.

Beliau turut mendengar taklimat dan meninjau Jambatan Sungai Tenom, yang rosak akibat banjir besar bulan lalu dan melancarkan pembinaan lapan rumah baharu mangsa banjir di Kampung Aur Gading selepas rumah asal mereka bersebelahan Sungai Tenom musnah akibat banjir.

Artikel Lain