suria

Rasuah: Bekas Pengurus Petronas Dipenjara 10 Tahun, Denda Lebih RM2 Juta

Idris (kiri) ketika dihadapkan ke mahkamah untuk lima pertuduhan rasuah pada 2013.

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus di Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dijatuhi hukuman penjara berjumlah 10 tahun dan denda RM2.012 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan menerima rasuah berhubung pembayaran terhadap pembelian dan pengubahsuaian rumahnya.

Hakim Rosbiahanin Arifin membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati Idris M.Shuhud, 49, bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan itu pada akhir kes pembelaan.

Rosbiahanin juga memerintahkan Idris dipenjara 44 bulan jika gagal membayar denda itu.

Mahkamah turut mendapati Idris bersalah terhadap empat pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM384,500 mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

"Tertuduh didapati gagal dalam memberi apa-apa penjelasan yang dapat diterima oleh mahkamah. Dengan itu tertuduh didapati bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Berturutan daripada itu, mahkamah juga mendapati tertuduh turut bersalah mengikut pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram," kata Hakim Rosbiahanin.

Bagi kesalahan rasuah, mengikut pertuduhan pertama dan kedua masing-masing, Idris dihukum penjara tiga tahun dan denda RM437,500 dan RM1.435 juta serta boleh dipenjara 30 bulan jika gagal bayar denda itu.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Idris dipenjara dua tahun dan denda RM90,000 serta boleh dipenjara lapan bulan jika gagal bayar denda.

Bagi pertuduhan keempat, dia dipenjara dua tahun dan denda RM50,000 serta boleh dipenjara enam bulan jika gagal bayar denda itu.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan secara serentak bagi kes rasuah iaitu hanya tiga tahun bermula Jumaat.

Sementara itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Bagaimanapun, Idris perlu menjalani hukuman penjara bagi kes rasuah terlebih dahulu diikuti hukuman bagi kes melibatkan diri dalam pengubahan wang haram.

Mahkamah turut mengarahkan rumah tertuduh di Bandar Tun Hussein, Cheras, dan akaun bank miliknya yang berjumlah RM98,000 disita.

Mengikut empat pertuduhan rasuah itu, Idris yang bertugas di projek penggantian saluran paip syarikat itu, didakwa menerima rasuah berjumlah RM403,000 daripada pengarah syarikat Penaga Orbit dan Genius Response Kamaruddin Mohd Daud untuk pembayaran terhadap pembelian dan pengubahsuaian rumahnya di Bandar Tun Hussein, Cheras sebagai upah kerana meluluskan dokumen urusan rasmi Petronas.

Dokumen berkenaan ialah Penilaian Bidaan Teknikal, Penilaian Bidaan Komersial dan Sijil Penyiapan Kerja.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Kuala Lumpur antara 5 Mac 2009 dan 20 Januari 2012.

Bagi pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, Idris didakwa melakukan satu kesalahan di Maybank cawangan KLCC dan tiga kesalahan di Bank Islam Malaysia Berhad, Seksyen 14 Shah Alam antara 5 Mac 2009 dan 20 Januari 2012.

Pendakwaan kes rasuah dikendali Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sinti dan Afifah Mamat@Yusof, manakala kes pengubahan wang haram oleh Mohd Farez Rahman manakala Idris diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi.

Artikel Lain